Isnin, 19 September 2016 | 3:34pm

Adeline pertaruh single Nadiku

ADELINE Tsen sekarang berjinak-jinak dalam bidang nyanyian. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

KUALA LUMPUR: Pelakon Adeline Tsen yang popular dalam drama Bukan Kerana Aku Tak Cinta sekarang berjinak-jinak dalam bidang nyanyian.

Mempertaruhkan single Nadiku ciptaan AG Coco dengan lirik nukilan Faizul Sany, Adeline berharap percaturannya menjadi.

"Saya minat menyanyi dari dulu cuma peluang lebih kepada bidang lakonan. Mungkin ramai tidak perasan, sebelum ini saya pernah menyanyi lagu Kau Bagiku untuk lagu tema drama Antara Laut China Selatan.

"Drama 26 episod itu disiarkan RTM pada tahun 2013. Namun, lagu itu tidak dipasar dan dipromosikan ketika itu," katanya kepada BH Online.

Bercerita lanjut mengenai single Nadiku, Adelina yang mula berlakon dalam drama Hotel Mania kira-kira enam tahun lalu memberitahu, lagu berkenaan cukup melankolik dan sedih.

"Saya sangat berharap Nadiku mencetuskan kesedaran kepada peminat bahawa saya meminati bidang nyanyian," katanya optimis.

Mengenai bidang lakonan, Adeline berkata, dia banyak menerima tawaran sejak akhir-akhir ini.

"Ibaratnya tak menang tangan. Sekembalinya daripada cuti ke Portugal baru-baru ini, saya sudah masuk set penggambaran," kata artis naungan Paranormal itu.

Berita Harian X