Isnin, 19 September 2016 | 5:37pm

22 Multinasional BDA Beroperasi dari Malaysia


Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), Datuk Yasmin Mahmood (dua dari kiri) bergambar bersama Pengarah Inovasi Capital Dr Karl Ng (dua dari kiri), Pengarah Eksekutif University Asia Pacific, Datuk Parmjit Singh (kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Antarabangsa Fusionex, Ivan Teh (kiri) semasa 4 Data Big World Show 2016, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini. - Foto Hafiz Sohaimi

KUALA LUMPUR: Malaysia menghampiri sasaran untuk menjadi hab Analisis Data Besar (BDA) Asia Tenggara apabila 22 syarikat multinasional BDA terkemuka dunia daripada enam negara kini membuka operasi di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), Datuk Yasmin Mahmood, berkata pengendali BDA itu berpangkalan di enam negara bersedia menjadikan Malaysia sebagai hab operasi mereka.

Katanya, antara nama besar peserta BDA itu adalah IHS Markit dan SiteCore selain dua syarikat multinasional tempatan yang kini mencipta nama di peringkat global seperti Fusionex and Data Micron.

"Secara keseluruhan, terdapat 32 syarikat BDA yang sudah berjaya mengeksport penyelesaian mereka dan 47 syarikat pemula BDA yang terus menginovasikan penyelesaian dan menguji teknologi termaju dalam industri.

"Sebagai sebahagian inisiatif BDA, MDEC turut memfokuskan kepada usaha mendekatkan jurang bakat BDA, dilaksanakan bersama rakan strategik MDEC dan membina hubungan baik antara industri dan universiti," katanya di sini, hari ini.

Berita Harian X