Isnin, 19 September 2016 | 7:17pm

Usaha sama Linde, PETRONAS Gas labur RM692.62 juta

KUALA LUMPUR: Linde Malaysia Sdn Bhd, anak syarikat Kumpulan Linde, menubuhkan syarikat usaha sama dengan PETRONAS Gas Bhd dikenali sebagai Pengerang Gas Solution Sdn Bhd (PGS) bagi membina kemudahan gas industri untuk menghasilkan gas oksigen dan nitrogen.

Bahan berkenaan adalah untuk dibekalkan kepada kompleks penapisan skala dunia PETRONAS dan Kompleks Petrokimia Bersepadu (RAPID) di Pengerang, Johor.

PGS juga memperoleh perjanjian jangka panjang dalam pembekalan gas oksigen dan nitrogen kepada penapisan skala dunia serta kompleks petrokimia yang merangkumi tapak gliko; etilena oksida/etilena.

Selain itu, PGS akan turut membina dua unit pengasingan udara dilengkapi kemudahan gas yang berkaitan. membabitkan pelaburan sebanyak 150 juta Euro (RM692.62 juta).

Ketua Pegawai Eksekutif Linde, Dr Wolfgang Buchele, berkata syarikat itu berada dalam kedudukan unik untuk menawarkan perkhidmatan kepada pelanggan dalam loji petrokimia dan juga pembekalan gas.

"Projek utama di tapak ini membolehkan kerjasama rapat di antara kepakaran teknikal dan pelaksanaan dari bahagian kejuruteraan kami bersama bahagian operasi gas. Ini mengukuhkan lagi kedudukan pasaran kami sebagai pembekal gas dalam sektor minyak, gas dan petrokimia," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Asia Pasifik dan ahli Lembaga Eksekutif Linde AG, Sanjiv Lamba berkata, rantau Asia adalah pasaran pertumbuhan utama untuk Kumpulan Linde dan syarikat adalah peneraju pasaran sebagai pembekal gas terkemuka di industri gas perubatan di Malaysia melebihi 50 tahun.

"Usaha sama ini adalah yang kedua bersama PETRONAS Gas dan ia membuktikan perkongsian lama kami berjaya. Kami berbangga untuk terus mewujudkan nilai kepada pelanggan melalui teknologi bertaraf dunia dan penyelesaian inovatif," katanya.

Usaha sama pertama Linde bersama PETRONAS Gas, adalah sebuah syarikat perdagangan gas iaitu Industrial Gases Solutions Sdn Bhd.

Linde juga membekalkan gas kepada anak syarikat PETRONAS di Malaysia, termasuk Kerteh dan Kompleks Petrokimia di Gebeng.

Info:

- RAPID adalah sebahagian daripada pelaburan PETRONAS terbesar di Malaysia setakat ini.

- Pembangunan Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC) adalah sebahagian daripada PIPC Johor dan dijangka siap awal tahun 2019.

- Operasi Linde Malaysia bermula sejak tahun 1960 dan peneraju utama di pasaran dalam pembekalan gas industri dan perubatan.

Berita Harian X