Isnin, 19 September 2016 | 9:39pm

Audi sasar jual lebih 400 unit A4 setahun

PENGARAH Pemasaran Audi Malaysia, Rudi Venter pada majlis pelancaran Audi A4 di Petaling Jaya, hari ini. - Foto Saddam Yusoff

PETALING JAYA: Audi Malaysia melancarkan kereta sedan serba baharu diimport sepenuh (CBU), A4 dengan sasaran jualan lebih 400 unit setahun.

Pengarah Pemasarannya, Rudi Venter, berkata Audi A4 adalah model yang sangat penting kepada jenama itu, berikutan populariti menjadikannya kenderaan paling laris berbanding model lain di pasaran seluruh dunia.

"Ini bermaksud kereta ini mentakrifkan jenama Audi dan dengan pengenalan semula A4, kita memperkenalkan kereta lebih besar dalam hampir setiap aspek, selain ringan serta tangkas.

"Ia lebih berkuasa serta menyeronokkan untuk memandu dan juga cekap bahan api, dilengkapi teknologi dan ciri. Namun, pada masa sama mudah digunakan berbanding sebelumnya," katanya pada majlis pelancaran Audi A4 Serba Baharu di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pemasaran Produk Audi Malaysia, Izwan Wong dan Ketua Komunikasi Korporatnya, Isaac Lee Mathew.

Sementara itu, Venter berkata, Audi Malaysia akan memperkenalkan beberapa model baharu seperti Q2, A5 dan A3 pada tahun depan.

"Selain itu, kita akan memperkenalkan model Audi Sport R8 V10 pada suku pertama tahun depan," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Venter berkata, pihaknya akan mempunyai sembilan pengedar dan satu pusat servis menjelang akhir tahun ini, berbanding enam pengedar dan satu pusat servis sekarang.

"Pada masa ini, kita mempunyai pengedar antaranya di Audi Melaka yang dibuka Jun lalu, Audi Puchong pada bulan ini dan Audi Setia Alam pada awal suku keempat 2016," katanya.

Audi A4 didatangkan dengan enjin empat silinder 2.0 liter TSFI yang memberi pecutan mengagumkan. Ia ditawarkan dalam 10 warna seperti putih glacier, perak floret dan merah matador, termasuk kelabu daytona dengan kesan warna mutiara untuk kereta pilihan pakej barisan S.

Dua pakej pilihan ditawarkan untuk Audi A4 iaitu Pakej S Line dan Pakej Teknologi yang boleh didapati mulai hari ini di semua pengedar sah Audi bermula pada harga RM248,900, manakala 100 unit pertama ditawarkan pada harga pengenalan istimewa RM239,900 sama seperti model sebelumnya.

Audi Malaysia akan memperkenalkan 1.4 TFSI dan prestasi berorientasikan 2.0 TFSI varian 'quattro' pada Januari 2017.

Info

Audi A4 2.0 TFSI

* Harga - RM248,900

* Sistem Pemanduan - pacuan roda hadapan

* Transmisi - S tronic

* Output maksimum hp - 190

* Tork maksimum Nm - 320

* 0-100km/j - 7.3 saat

* Kelajuan maksimum - 240 km/j

* Penggunaan minyak - 5 liter/100km

* Pelepasan karbon dioksida - 114g/km

Berita Harian X