Isnin, 19 September 2016 | 10:31pm

22 multinasional BDA beroperasi dari Malaysia


KETUA Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Datuk Yasmin Mahmood pada sidang media majlis pelancaran Minggu Data Besar Asia 2016, di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Hafiz Sohaimi

KUALA LUMPUR: Momentum pelaburan baharu dalam Analisis Data Besar (BDA) di Malaysia akan berterusan sehingga akhir tahun ini selepas 22 syarikat multinasional BDA terkemuka dunia membuka operasi di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Datuk Yasmin Mahmood, berkata komitmen peserta multinasional BDA dari enam negara itu kini membawa Malaysia hampir kepada sasaran menjadi hab BDA Asia Tenggara.

Katanya, antara nama besar peserta BDA itu adalah IHS Markit dan SiteCore, selain dua syarikat multinasional tempatan yang kini mencipta nama di peringkat global seperti Fusionex and Data Micron.

Selain 22 syarikat itu, MDEC turut menerima sambutan menggalakkan daripada beberapa lagi syarikat multinasional BDA yang sudah berada dalam senarai untuk memohon kelulusan beroperasi di negara ini.

"Secara keseluruhan, 32 syarikat BDA sudah mengeksport penyelesaian mereka dan 47 syarikat pemula BDA yang terus menginovasikan penyelesaian serta menguji teknologi termaju dalam industri," katanya.

Sebagai sebahagian inisiatif BDA, beliau berkata, MDEC turut memfokuskan usaha merapatkan jurang bakat BDA, dilaksanakan bersama rakan strategik MDEC dan membina hubungan baik antara industri dan universiti.

"Malah, kita juga bangga mengumumkan sejumlah lebih 300 data saintis kini berada di Malaysia," katanya selepas melancarkan Minggu Data Besar Asia 2016, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Yasmin berkata, cabaran terbesar negara dalam menuju mencapai sasaran hab BDA Asia Tenggara adalah untuk mewujudkan bakat mencukupi, termasuk saintis data dan penganalisis data.

Justeru, katanya, berdasarkan perkembangan semasa, permintaan negara terhadap saintis data dijangka lebih tinggi kepada 2,000 profesional menjelang 2020 berbanding sasaran awal 1,500 sebelum ini.

"Kita terpaksa mengkaji semula dan menaikkan sasaran keperluan data saintis dan data profesional kepada 16,000 berikutan pertumbuhan luar biasa industri ini.

"Ini menunjukkan dunia sudah mula menerima kemajuan BDA sebagai gangguan inovasi yang melonjakkan ekonomi negara dan syarikat. Justeru, apa saja perkembangan dalam industri ini akan memberi kesan besar kepada dunia," katanya.

Info:

Data Besar

-Istilah teknologi maklumat kepada kumpulan himpunan data dalam jumlah amat besar dan kompleks sehingga terlalu sukar untuk diproses secara tradisional.

- Dimanfaatkan dengan diproses kembali kepada struktur yang mudah dibaca bagi memberi impak atau keputusan yang tepat dan segera.

Berita Harian X