Isnin, 24 November 2014 | 9:29pm

Kenderaan EV dikecuali cukai

KETUA Eksekutif Malaysian Green Technology Corporation (GreenTech Malaysia), Ahmad Hadri Haris. - Foto Muhammad Asyraf Sawal
KETUA Eksekutif Malaysian Green Technology Corporation (GreenTech Malaysia), Ahmad Hadri Haris. - Foto Muhammad Asyraf Sawal

KERAJAAN dijangka memberi pengecualian cukai import dan eksais ke atas kereta elektrik (EV) menerusi Pelan Induk Kenderaan Elektrik yang akan diumumkan tidak lama lagi, bergantung kepada kelulusan kabinet.

Pelan berkenaan adalah selaras dengan usaha kerajaan dalam menggalakkan lagi pertumbuhan industri berteknologi hijau di negara ini.

Ketua Eksekutif Malaysian Green Technology Corporation (GreenTech Malaysia), Ahmad Hadri Haris, berkata antara perkara utama dalam pelan induk berkenaan adalah langkah menggalakkan rakyat negara ini memiliki kenderaan elektrik .

Katanya, pengguna di negara ini akan menggunakan kenderaan elektrik setelah faktor harga kenderaan sebegitu dapat ditetapkan secara lebih jelas dengan penyusunan semula struktur cukai EV, selain daripada kesediaan infrastruktur dan kemudahan asas khusus bagi kegunaan kenderaan sedemikian.

SEBUAH kereta elektrik yang dipamerkan sempena New Straits Times Autoshow 2014 di MATRADE, baru-baru ini. - Foto hiasan/Azmaidi Abidin
SEBUAH kereta elektrik yang dipamerkan sempena New Straits Times Autoshow 2014 di MATRADE, baru-baru ini. - Foto hiasan/Azmaidi Abidin

"Maka menerusi pelan induk itu, kami akan memperkenalkan semula pengecualian cukai khususnya duti import dan eksais kerana ia penting dalam mewujudkan pasaran bagi EV.

"Berdasarkan pengalaman, apabila kerajaan memperkenalkan pengecualian penuh cukai bagi kereta hibrid dalam Bajet 2010, ia telah melonjakkan jualan kereta hibrid iaitu dari 300 unit pada 2010 kepada 6,000 unit pada 2011. Ketika ini jumlah kereta hibrid di atas jalan raya sudah mencecah 30,000 unit.

"Menerusi insentif cukai ini berserta penyediaan infrastruktur dan mekanisme tepat , kami yakin pemilikan EV akan mengatasi jumlah kereta hibrid " katanya dalam ketika ditemubual BH di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dapatkan naskhah BH hari ini untuk berita lanjut atau muat turun versi digital di http://subscription.nstp.com.my/

Berita Harian X