Selasa, 20 September 2016 | 6:09pm

Rasa tidak selamat, Ainul Aishah pindah rumah


PELAKON, Ainul Aishah. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

KUALA LUMPUR: Gara-gara gangguan individu misteri sejak akhir-akhir ini, Ainul Aishah terpaksa mencari kediaman lain bagi memastikan keselamatan diri terjamin.

Ainul atau nama penuhnya Ainul Aishah Azizun, 30, berkata beliau menerima kira-kira empat nota kecil yang tertera nombor telefon individu tidak dikenali terselit di pengelap cermin keretanya dan perkara benar-benar menakutkan dirinya.

"Mungkin ada yang memandang remeh mengenai perkara ini. Tetapi, saya kerap mendapat nota kecil dan ia menunjukkan individu berkenaan tahu gerak-geri saya. Dia juga tahu adakah saya sudah berada di rumah atau tidak.

"Malah, sebelum ini beberapa rakan yang mahu pulang selepas melepak di rumah saya turut diekori individu tidak dikenali di sekitar kondominium saya.

"Perkara itu membuatkan saya nekad mahu berpindah ke kediaman lebih selamat," katanya ketika dihubungi BH Online sebentar tadi.

Ainul berkata, dengan pelbagai kejadian jenayah yang berlaku di ibu kota, setiap wanita mahupun lelaki perlu mengambil pendekatan berjaga-jaga agar keselamatan diri lebih terjamin.

Sementara itu, mengenai kerjaya lakonan, Ainul kini sibuk menjalani penggambaran drama Lara Aishah, sehingga akhir tahun ini.

Selain itu, beliau buat julung kalinya bakal muncul menerusi pementasan teater bangsawan Putra La Galigo arahan Rosdeen Suboh, Disember depan.

"Saya begitu teruja apabila ditawarkan berlakon teater kerana memang sudah lama saya ingin membabitkan diri dalam lakonan pentas. Jadi, apabila diberikan peluang, saya akan berusaha memberikan hasil lakonan yang terbaik.

"Apapun, saya bersedia dengan segala kritikan. Paling penting saya berusaha sebaik mungkin dan kini latihan pembacaan skrip sudah pun bermula," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Ainul juga tampil dengan jenama fesyen sendiri iaitu Alove yang boleh dibeli menerusi laman sesawang www.starporium.com.

Berita Harian X