Selasa, 20 September 2016 | 7:12pm

Pembantu rumah dakwa majikan cubit payu dara


MANGSA dera.

KUALA LUMPUR: Seorang wanita warga tempatan ditahan selepas dipercayai mendera pembantu rumahnya yang juga seorang warga Indonesia selain turut mengugut untuk mencampakkan mangsa dari tingkat 17 kediamannya.

Kejadian ini terbongkar selepas mangsa berusia 40 tahun itu, melarikan diri dari rumah majikannya di Kondominium Desa Putra, Wangsa Maju, 15 September lalu, sebelum mendapatkan pertolongan dari anggota polis bantuan di Stesen LRT Sri Rampai.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Mohamad Roy Suhaimi Sarif, berkata suspek juga dilaporkan tidak memberi pembantu rumahnya itu makan selain turut melakukan pelbagai penderaan fizikal.

"Berdasarkan laporan yang dibuat, mangsa mendakwa majikannya sering menumbuk muka, mencekik leher, menghantukkan kepala mangsa ke dinding, menendang belakang badan serta mencubit kedua-dua belah payu dara mangsa.

"Kerana tidak tahan diperlakukan seperti itu, maka mangsa nekad melarikan diri dari rumahnya ketika majikannya sedang tidur dan mendapatkan bantuan polis," katanya ketika dihubungi BH petang tadi.

Katanya, setakat ini majikan berkenaan sudah ditahan untuk siasatan lanjut dan ditahan reman selama tiga hari sehingga esok.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 13, Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM).

1632 dibaca
Berita Harian X