Selasa, 20 September 2016 | 10:54pm

Sultan Nazrin terima penghargaan di UNGA-71


SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah. -Foto ihsan Jabatan Penerangan

NEW YORK: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mendapat penghargaan istimewa dalam Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-71 di sini kerana peranannya sebagai Pengerusi Bersama Panel Peringkat Tinggi Mengenai Pembiayaan Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Penghargaan itu disuarakan Presiden Bulgaria, Rosen Plevneliev ketika berucap dalam mesyuarat peringkat tinggi untuk Menangani Gerakan Besar-Besaran Pelarian dan Migran yang diterima pakai dalam Deklarasi New York 'yang menekankan objektif bersama kita' untuk penyelarasan dan pengukuhan kerjasama dalam sistem PBB.

Plevneliev berkata penghargaan harus diberikan kepada Sultan Nazrin dan pengerusi bersama panel, Naib Presiden Suruhanjaya Eropah, Kristalina Georgieva dalam mengenengahkan keperluan untuk penyelarasan lebih erat antara tindakan kemanusiaan dan pembangunan.

Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon menubuhkan panel berkenaan pada Mei tahun lalu untuk mengkaji cabaran pembiayaan kemanusiaan dan mengenal pasti cara-cara yang mana jurang yang semakin meningkat dalam aspek keperluan dan sumber yang ada bagi mengatasi isu itu.

"Panel juga akan berusaha menjana penyelesaian di sekitar isu pembiayaan yang lebih tepat pada masanya dan boleh diramal serta kaedah bagaimana sumber boleh digunakan dengan lebih berkesan," katanya.

Info

100 juta orang memerlukan pembiayaan kemanusiaan sehingga hari ini

AS$19.1 bilion kos pembiayaan kemanusiaan pada tahun 2015

AS$3.4 bilion kos pembiayaan kemanusiaan pada tahun 2004

Berita Harian X