Rabu, 21 September 2016 | 9:27pm

Maxis lancar MaxisONE Kid pantau kanak-kanak


JAM pintar khas kanak-kanak, QQ Watch. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Maxis Bhd melancarkan pelan pascabayar, MaxisONE Kid yang dilengkapi jam pintar khas kanak-kanak, QQ Watch, bagi memudahkan ibu bapa berhubung dengan anak mereka.

Ketua Pascabayar Perniagaan Pengguna Pascabayarnya, Arjun Varma, berkata jam tangan itu membolehkan ibu bapa memantau lokasi anak dan berkomunikasi dengan mereka, walaupun anak mereka tidak memiliki telefon pintar.

Katanya, satu ciri istimewa yang ada pada jam tangan berkenaan adalah fungsi Sistem Kedudukan Global (GPS).

"Ia membantu mengesan dan menghantar lokasi serta pergerakan masa nyata kanak-kanak ke aplikasi yang ada pada telefon pintar ibu bapa," katanya pada majlis pelancaran MaxisONE Kid di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Perkhidmatan Digital Perniagaan Pengguna, Adelle Gregory.

Sementara itu, Gregory berkata, aplikasi itu membolehkan ibu bapa menguruskan senarai kenalan anak mereka, pemberitahuan apabila kanak-kanak memasuki zon selamat dan berbahaya yang ditetapkan serta menghantar mesej teks.

Katanya, jam tangan pintar berkenaan juga boleh membuat panggilan dan menerima gambar yang diambil daripada jam pintar kanak-kanak terbabit.

"Aplikasi ini juga membolehkan ibu bapa mematikan fungsi panggilan dan berbual ketika waktu persekolahan bagi memastikan tiada gangguan semasa kanak-kanak berada di sekolah," katanya.

Beliau berkata, aplikasi ini turut memaparkan jangka hayat bateri jam tangan pintar terbabit.

Ia berharga RM58 sebulan yang dilengkapi dengan 500MB, manakala jam pintar berkenaan berharga RM569.

Setiap akaun boleh menampung sehingga dua jam pintar terbabit.

Info

MaxisONE Kid

- Pengesanan pintar

- Panggilan tanpa had ke 10 nombor pilihan (semua rangkaian)

- Keselamatan pintar (keupayaan mendengar persekitaran anak dan fungsi panggilan SOS)

- Ciri tambahan menarik (panggilan dua hala, kamera 0.3MP & pedometer)

- Tetapkan sehingga 4 penjaga untuk memantau kanak-kanak

54 dibaca
Berita Harian X