;
Khamis, 22 September 2016 | 12:02am

Menjinak ikan lauk


PEMANCING di kolam memancing air tawar Haji Nawawi.

KE mana destinasi anda hendak membawa keluarga dan anak-anak pada hujung minggu ini?

Sekiranya bercadang pergi memancing ikan air tawar untuk dijadikan lauk makan bersama keluarga atau kawan-kawan, Kolam Memancing Air Tawar Hj Nawawi di Sungai Tekali, Hulu Langat lokasi paling sesuai.

Di kolam itu anda boleh menjinakkan patin, baung, lampam Jawa, rohu, pacu dan tilapia merah bersaiz sederhana, sesuai untuk dijadikan lauk makan tengah hari dan makan malam bersama keluarga serta jiran.

Kalau tepat dengan umpannya, dalam lima minit, anda pasti dapat mendaratkan patin atau rohu dari dasar kolam berkenaan.

Biasanya mereka yang kerap datang memancing di situ, tahu jenis umpan untuk menjinakkan ikan yang ingin dibawa pulang.

Sebagai contoh ikan baung, mereka akan membawa umpan dedak tapa yang disediakan antara dua, tiga hari sebelum berkunjung ke kolam berkenaan.

Ada juga antara pemancing yang hanya membawa dedak biasa dan tepung gandum, yang boleh dibeli dari mana-mana kedai pancing, namun perlu dicampur perasa tertentu termasuk isi kelapa.

Wang dikembalikan, ramai puas hati

Lokasi kolam yang dibuka sejak tahun 1998 itu cuma empat kilometer dari dari Jalan Sungai Tekali yang menghala ke arah Semenyih. Anda tidak pening mencari kolam itu, kerana terdapat beberapa papan tanda tunjuk arah yang diletakkan di tepi jalan.

Kolam ini terletak di belakang beberapa rumah kediaman termasuk rumah pengusahanya, Abdul Hadi Abdullah Nawawi, 51.

"Biasanya ramai pemancing akan pulang awal selepas mereka berpuas hati dengan jumlah ikan yang diperoleh dan baki wang bayaran akan dikembalikan.

"Ada juga dalam kalangan pemancing yang melepas semula ikan patin yang diperoleh ke kolam ini kerana mendakwa keturunan mereka sama ada di sebelah suami atau isteri yang tidak boleh makan ikan berkenaan," katanya.

Penulis diberi peluang menduga ikan lauk di kolam berkenaan, baru-baru ini. Selepas membayar yuran masuk sebanyak RM12 untuk dua sejam, penulis terus ke pondok di tepi kolam. Kelihatan beberapa kaki pancing sudah memenuhi di tepi kolam berkenaan.

Tanpa berlengah penulis terus mengambil umpan dedak yang sudah disediakannya dua jam sebelum datang ke kolam itu.


ABDUL Hadi Abdullah Nawawi.

Umpan kelapa parut kering

Selang lapan minit joran penulis menerima santapan dari penghuni dasar. Setelah tali dikarau menghampiri tebing kolam kelihatan jelas sisik si tilapia merah. Selang lima minit penulis berjaya menaikkan rohu seberat 1.5kg dan 10 minit kemudian baung seberat 900 gram.

Pada jam kedua, penulis menyediakan bancuhan dedak baharu yang ditambah dengan perisa pisang dan kelapa parut kering, kemudian umpan yang diletak pada dua mata pancing itu dilontar ke tengah kolam.

Lima minit kemudian, pancang joran penulis hampir tersungkur menerima sentapan ikan. Penulis terus mencapai joran dan mengawal larian ikan terbabit yang sedang berusaha melepaskan diri. Selepas berjaya ditimbulkan rupanya seekor pacu seberat 3 kg.

INFO: Kolam Memancing Air Tawar Hj Nawawi

  • Lokasi: Jalan Sungai Tekali, Hulu Langat. berhampiran dengan Pusat Kokurikulum Negeri Selangor dan Kem Tekali di Hulu Langat.
  • Waktu Operasi: 7.30 pagi hingga 12.30 tengah malam setiap hari.
  • Bayaran: RM6 sejam untuk sebatang joran
  • Kapasiti: 35 pemancing
  • Spesies ikan: Patin, baung, lampam jawa, rohu, pacu dan tilapia merah.
  • Umpan: Roti dan dedak
215 dibaca
Berita Harian X