Khamis, 22 September 2016 | 8:03am

Piala Liga: Pertembungan awal seteru Manchester

PENYERANG Manchester United, Marcus Rashford bijak memperdaya penjaga gol Northampton Town, Adam Smith sekali gus menjaringkan gol ketiga pasukan pada perlawanan Piala Liga Inggeris (EFL) di Stadium Sixfields, awal pagi tadi. Man United menang 3-1.

LONDON: Pengurus Manchester United, Jose Mourinho dan rakan sejawatnya di Manchester City, Pep Guardiola bakal membuat perhitungan dalam saingan Piala Liga selepas kedua-dua pasukan melepasi pusingan ketiga, awal pagi tadi.

United mencatat kemenangan 3-1 ke atas kelab divisyen 3, Northampton Town sekali gus meredakan tekanan yang dialami Mourinho selepas mengharungi tiga kekalahan berturut-turut, manakala City mengatasi Swansea City 2-1.

JOSE Mourinho (kiri) dan Pep Guardiola.

"Kami berhak untuk menang," kata Mourinho selepas gol daripada Michael Carrick, Ander Herrera dan pemain gantian, Marcus Rashford membawa United mara ke pusingan keempat.

Bercakap sebelum majlis undian diadakan, Mourinho mengakui anak buahnya berdepan tugas sukar seperti yang dijangka.

"Namun, kami berjaya mengawal perlawanan untuk tempoh 35 minit dan 45 minit yang terakhir. Ia perlawanan yang sukar tetapi kami mencatat keputusan yang positif," katanya.

Kemenangan United itu seharusnya menjadi tonik kepada skuad bimbingan Mourinho selepas tewas tiga kali berturut-turut ke atas Manchester City, Feyenoord dan Watford.

Dia melakukan sembilan pertukaran terhadap skuad yang tewas 1-3 di tangan Watford dengan Chris Smalling dan kapten, Wayne Rooney menjadi dua pemain yang dikekalkan.

Sementara itu, City merekodkan sembilan kemenangan daripada sembilan perlawanan sejak di bawah kendalian Guardiola susulan kejayaan mengatasi Swansea.

Tottenham Hotspur pula akan berkunjung ke Liverpool selepas membelasah Gillingham 5-0 dan West United berdepan Chelsea selepas menyingkirkan Accrington Stanley. - AFP

Berita Harian X