Khamis, 22 September 2016 | 11:24am

Sistem penjejakan penerbangan baharu elak kehilangan pesawat


SISTEM Aireon akan meletakkan penerima Pemantau Bebas Automatik (ADS-B) pada satelit di orbit rendah dikendalikan Iridium Communications Inc dan dijadualkan beroperasi pada 2018. - Foto hiasan

BERLIN: Dua syarikat Amerika Syarikat (AS) sudah membangunkan sistem penjejakan penerbangan yang didakwa dapat menghalang kehilangan pesawat sebagaimana yang berlaku pada pesawat MH370.

Di sebalik menghantar isyarat penjejakan ke stesen bumi, yang bermakna lokasi pesawat boleh hilang sekiranya ia berada di atas lautan atau di kawasan terpencil, sistem baharu itu akan memancarkannya ke satelit.

"Tidak kira sama ada ia terbang atas lautan, gurun, atau Kutub Utara sekali pun, kita dapat tahu di mana kedudukan pesawat itu," kata Daniel Baker, Ketua Pegawai Eksekutif di FlightAware, penyedia perkhidmatan penjejakan pesawat menerusi internet yang bekerjasama dengan Aireon LLC, pemaju teknologi satelit itu.

Sistem Aireon akan meletakkan penerima Pemantau Bebas Automatik (ADS-B) pada satelit di orbit rendah dikendalikan Iridium Communications Inc dan dijadualkan beroperasi pada 2018.

Sistem itu pada mulanya dibangunkan untuk membantu pengawal trafik udara mengawal laluan pesawat secara lebih berkesan.

Sistem penjejakan baharu itu, yang dikenali sebagai GlobalBeacon, akan membuat data lokasi daripada penerima di angkasa bagi membolehkan mereka menjejaki pesawat pada waktu sebenar.

Selepas kehilangan MH370 pada Mac 2014, pengawal selia dan syarikat penerbangan dikritik kerana terlalu lambat bertindak. - Reuters

26 dibaca
Berita Harian X