Khamis, 22 September 2016 | 11:44am

Lelaki maut, dua rakan parah kereta terbabas

KLUANG: Seorang lelaki maut manakala dua rakannya parah selepas kereta dinaiki terbabit kemalangan di Jalan Felda Bukit Permai dekat Layang-Layang sini, jam 5.45 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asistan Komisioner Muhamad Laham, berkata Mazman Salim, 27, yang duduk di bahagian penumpang belakang parah pada kepala dan kaki meninggal dunia di lokasi kejadian.

Katanya, rakan mangsa yang juga pemandu kenderaan itu, Zulhilmi Mohd Ali, 28, dan penumpang hadapan Mohd Saiful Rosalan, 28, juga parah dan kini dirawat di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHKK) Kluang.

"Nahas dikatakan berpunca daripada kegagalan pemandu mengawal kenderaan sebelum terbabas dan melanggar tiang elektrik serta sebatang pokok.

"Ketiga-tiga mangsa dipercayai dalam perjalanan ke Felda Bukit Permai dari Pekan Layang-Layang," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Berita Harian X