Khamis, 22 September 2016 | 2:13pm

21 pelajar terima biasiswa PPB


ROSMAN (sebelas dari kanan) bergambar dengan penerima biasiswa Putrajaya Perdana Berhad 2016 di Putrajaya. - Foto Fariz Iswadi Ismail

PUTRAJAYA: Putrajaya Perdana Berhad (PPB) hari ini mengumumkan pemilihan 21 pelajar daripada pelbagai latar belakang untuk menerima tajaan dan biasiswa syarikatnya bagi sesi pembelajaran 2015/2016.

Pengarah Urusan Kumpulan PPB, Datuk Rosman Abdullah, berkata biasiswa membabitkan peruntukan RM189,000 itu adalah antara program tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikatnya bagi membantu pelajar yang memerlukan.

"Pendidikan generasi muda sentiasa dekat di hati kami kerana PPB percaya bahawa mereka adalah pemimpin masa depan. Kami sedar bukan semua pelajar berpeluang melanjutkan pengajian berikutan masalah kewangan, sekali gus mendorong PPB menawarkan biasiswa kepada pelajar yang benar-benar layak.

"Diharapkan biasiswa ini dapat bantu ringankan beban mereka untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi," katanya ketika berucap pada majlis penyampaian biasiswa berkenaan, di sini, sebentar tadi.

Rosman berkata, pelajar yang berjaya menamatkan pengajian dengan cemerlang akan diberi keutamaan untuk bekerja dengan PPB, secara tidak langsung memberi peluang kepada mereka menonjolkan bakat sedia ada.

Sementara itu, seorang penerima biasiswa berkenaan, Mohd Amin Mamat, 22, berkata beliau bersyukur dengan peluang yang diterimanya ketika dia risau memikirkan sumber kewangan bagi membiaya pengajian.

"Sebagai anak yatim, saya selalu tertanya-tanya bagaimana kehidupan saya pada masa akan datang dan bertekad mencari jalan meneruskan pengajian walaupun tanpa sumber kewangan yang kukuh.

"Dengan adanya biasiswa ini, saya dapat melanjutkan pelajaran dan akan bekerja keras sehingga tercapai impian untuk menjadi seorang juru ukur bahan profesional," katanya yang mengikuti jurusan Ijazah Sarjana di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Seri Iskandar, Perak.

Berita Harian X