Khamis, 22 September 2016 | 7:01pm

APMM terima 9 kapal baharu tahun depan

TIMBALAN Ketua Menteri, Datuk Raymond Tan Shu Kiah (dua dari kiri) menyampaikan Pingat Kedaulatan Negara kepada anggota APMM pada Majlis Perasmian Pejabat Daerah Maritim Sandakan (DM17), di Sandakan. - Foto Poliana Ronnie Sidom

SANDAKAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) akan menerima sembilan aset baharu secara berperingkat bermula tahun depan dalam usaha mempertingkat rondaan dan pengawalan di perairan negara.

‎Ketua Pengarah APMM, Datuk Seri Ahmad Puzi Ab Kahar, berkata ia merangkumi enam aset New Generation Petrol Craft (NGPC) dan tiga kapal Offshore Patrol Vessel (OPV) membabitkan peruntukan RM1.4 billion.

Katanya, semua kapal terbabit dalam proses pembinaan di limbungan tempatan dengan dua NGPC dijangka bakal dilancarkan akhir tahun ini, sebelum dipamerkan untuk diperkenal pada Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) dijangka Mac tahun depan.

‎‎"Aset dan prasarana baharu seperti ini akan membantu meningkatkan rondaan di laut terutama pengawalan di selat Melaka, selatan Johor, Sabah dan Sarawak serta beberapa tempat lain di kawasan titik panas.

"Apa juga aset kita adalah aset bergerak dan di mana sahaja diperlukan, kita akan gerakkan untuk hadapi apa juga bentuk ancaman... kita sentiasa bersedia bersama pasukan keselamatan lain untuk tentukan perairan negara adalah selamat," katanya.

‎Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Perasmian Pejabat Daerah Maritim Sandakan (DM17) di sini, sebentar tadi yang disempurnakan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Raymond Tan Shu Kiah.

‎Yang turut hadir ialah Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Zaitun Ab Samad dan Pengarah APMM Wilayah Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zubil Mat Som.

Ahmad Puzi berkata, APMM juga dalam perancangan mewujudkan pasukan simpanan maritim yang kini dalam proses kelulusan di peringkat Kabinet dengan sasaran keanggotaan sehingga 10,000 orang di seluruh negara.

‎"Mereka akan menjadi pasukan sokongan yang disediakan latihan dan akan digembleng apabila wujud apa-apa keperluan. Kita harap semua lapisan masyarakat khususnya yang tinggal berhampiran pantai di Sabah akan merebut peluang ini," katanya.

Sementara itu, Shu Kiah dalam ucapannya berkata, usaha memantapkan keupayaan dan kredibiliti penguatkuasaan maritim negara harus dipertingkatkan terutama bagi berdepan ancaman seperti kegiatan pengganas Daesh dan Abu Sayyaf yang perlu ditangani dengan serius dan bersepadu.‎

Berita Harian X