Khamis, 22 September 2016 | 7:44pm

40 pusat peperiksaan di kawasan banjir


SETIAUSAHA Kerajaan Negeri, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail (dua kanan) bersama Pengarah Pendidikan Terengganu, Shafruddin Ali Hussin (tengah) beramah mesra dengan pemenang pada program Pesta Schoolwide Enrichment Model Peringkat Negeri Terengganu di Pusat Dadangan Terengganu (TTC). - Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri dan jawatankuasa bencana akan memindahkan pusat peperiksaan di kawasan yang lebih selamat ketika musim banjir yang dijangka akan melanda beberapa daerah seluruh negeri November ini.

Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail berkata, kerajaan negeri dan Jabatan Pendidikan negeri mengenal pasti 40 sekolah yang dijadikan sebagai pusat peperiksaan terutamanya di daerah Kemaman, Dungun, Besut serta Setiu yang biasa ditenggelami air ketika musim banjir.

Katanya, antara kaedah dikenal pasti kerajaan negeri ialah memindahkan serta merta pusat pemeriksaan jika kawasan itu ditenggelami air.

"Ini bagi memastikan tiada calon terkandas daripada menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dengan memindahkan mereka ke asrama serta menyediakan pengangkutan khas.

"Selain pusat peperiksaan ditenggelami air, turut diberikan perhatian pasukan bencana untuk memastikan calon tidak terkandas ialah mengenal pasti jalan ke pusat yang boleh dilalui dan kediaman calon tidak ditenggelami air," katanya ketika ditemui selepas merasmikan majlis penutup Pesta Schoolwide Enrichment Model (SEM) peringkat negeri di Pusat Dagangan Terengganu (TTC), di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Shafruddin Ali Hussin dan Pengarah Yayasan Terengganu, Pengarah Yayasan Terengganu (YT), Mohamad Sulong.

Wan Nawawi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negeri berkata, jawatankuasa bencana yang turut dianggotai Pegawai Pendidikan Daerah sudah diarah mengenal pasti tempat tinggal calon terutamanya yang tinggal di kawasan rendah dan kerap ditenggelami air bagi memudahkan kerja pemindahan dilakukan.

Beliau berkata, kerajaan negeri sudah bersiap siaga dan pusat perpindahan banjir sudah dikenal pasti.

"Bilik gerakan banjir daerah akan diaktifkan sekiranya berlaku limpahan air, terutamanya di kawasan rendah," katanya.

Berita Harian X