Jumaat, 23 September 2016 | 7:21am

Jarak bulan dan cuaca faktor utama air pasang melimpah

OMBAK tinggi menghempas tebing sebuah kedai makanan di tepi Pantai Bersih, Bagan Ajam, Butterworth, baru-baru ini. - Foto hiasan
OMBAK tinggi menghempas tebing sebuah kedai makanan di tepi Pantai Bersih, Bagan Ajam, Butterworth, baru-baru ini. - Foto hiasan

ANTARA sistem ramalan yang paling tepat di seluruh dunia adalah ramalan pasang surut air laut. Tetapi persoalannya, mengapa kejadian air pasang besar baru-baru ini tidak dijangka kejadiannya?

Fenomena ini menjadi buah mulut ramai sejak beberapa hari yang lalu. Ini kerana negara dikejutkan dengan fenomena yang jarang dilihat apabila air laut melimpahi kawasan pantai lalu mengakibatkan beberapa bandar pesisir pantai Di negeri Selangor, Perak dan Kedah ditenggelami air sehingga ada penduduk menyangka ianya adalah kesan akibat tsunami.

Kejadian air pasang besar adalah fenomena normal yang dipengaruhi oleh daya graviti matahari dan bulan yang menjadi penentu utama kepada proses pasang surut air laut. Air pasang besar berlaku 2 kali setiap bulan apabila posisi bumi selari dengan matahari dan bulan yang kebiasaannya bertepatan dengan tarikh 1 dan 15 haribulan dalam kalendar bulan Islam.

Apa yang berlaku beberapa hari lalu sedikit berbeza kerana air pasang besar mengalami peningkatan yang ekstrem dan lebih tinggi dari normal. Peningkatan paras air pasang besar kali ini berlaku akibat tarikan graviti bulan yang tinggi kerana pada masa ini bulan berada pada posisi yang paling hampir dengan bumi.

Pada masa tertentu didalam tempoh setiap tahun, posisi bulan dan bumi akan berada pada jarak paling hampir. Oleh sebab itulah jika kita melihat bulan mengambang dalam tempoh beberapa hari ini kita akan dapati saiznya sedikit besar dari apa yang biasa kita lihat.

Yang menariknya, biarpun air pasang besar serta tarikan graviti bulan ini sesuatu yang biasa berlaku, mengapa kali ini ia mengakibatkan banjir yang luarbiasa?

Ada beberapa faktor lain yang telah menyebabkan ianya menjadi buruk. Angin kuat serta hujan lebat semasa kejadian telah mengakibatkan ketinggian ombak meningkat dan pada masa yang sama paras air sungai melimpah akibat hujan yang berlaku. Apabila air sungai semakin tinggi dan keadaan laut bergelora maka air pasang tinggi melebihi paras biasa, air mula melimpah lalu mengakibatkan banjir kilat.

Fenomena ini bukan saja berlaku di Malaysia, malah dirasai hampir di seluruh dunia. Beberapa bandar di Vietnam, Indonesia sehinggalah Amerika Syarikat (AS) juga terkesan akibat air pasang besar ini. Keadaan angin kuat serta cuaca buruk yang menyebabkan hujan lebat di negara berkenaan semasa kejadian air pasang itu telah menyebabkan air melimpah dan mengakibatkan banjir kilat, sama seperti apa yang kita alami.

Menurut laporan terkini, saintis menjangkakan kejadian seperti ini mungkin akan berlaku lebih kerap pada masa akan datang. Statistik terkini melaporkan negara seperti AS telah mengalami kejadian banjir air pasang besar ini semakin kerap sejak 10 tahun kebelakangan ini. Keadaan cuaca dunia yang semakin tidak menentu adalah penyumbang utama kepada kekerapan kejadian seumpamanya untuk berlaku.

Memandangkan air pasang surut ini sesuatu yang mudah diramal, orang ramai dinasihati untuk lebih peka pada masa akan datang terutamanya terhadap cuaca persekitaran semasa tarikh fasa anak bulan dan bulan mengambang.

Ini kerana pada waktu inilah paras air pasang mencapai tahap maksimum. Sekurang-kurangnya persediaan awal mampu untuk mengelakkan sebarang kemalangan yang tidak diingini.

Penulis adalah Ketua Makmal Fizikal dan Oseanografi Geologi, Institut Oseanografi dan Alam Sekitar, Universiti Malaysia Terengganu (UMT)

Berita Harian X