Selasa, 25 November 2014 | 2:53pm

Takaful Ikhlas sasar 2,000 sertai Usahawan Takaful Mega

KUALA LUMPUR: Takaful Ikhlas Bhd, syarikat milik penuh MNRB Holdings Bhd, menyasar 2,000 peserta untuk Program Usahawan Takaful Mega bagi tahun kewangan 2014/2015.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif, Ab Latiff Abu Bakar, berkata ini sebagai tambahan kepada 3,500 usahawan Takaful Keluarga sedia ada di Takaful Ikhlas.

Program yang dijalankan di tiga buah negeri bertujuan memberi pendedahan dan latihan kepada usahawan dalam mempromosi produk syarikat di bawah segmen Takaful Keluarga.

"Bagi yang berminat, program seterusnya akan dijalankan pada 29 November di Johor Bahru. Kami juga akan menganjurkan satu siri program di Selangor dan Kuala Lumpur dalam masa terdekat," katanya dalam satu kenyataan.

Program Usahawan Takaful Mega adalah platform untuk menarik minat orang ramai menyertai Takaful Ikhlas sebagai usahawan ke arah mempromosi produk Takaful Keluarga.

Ab Latif berkata program itu menawarkan peluang untuk menjana pendapatan lumayan selain membantu menyebarkan faedah dan kepentingan perlindungan takaful kepada umat Islam. - BERNAMA

Berita Harian X