Jumaat, 23 September 2016 | 4:26pm

Akhiri kerjaya 37 tahun bidang perguruan

PUTRAJAYA: Mengakhiri kerjaya perguruan hampir 37 tahun disifatkan sebagai menyedihkan kerana ia bermakna terpaksa berjauhan dengan golongan pelajar.

Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 8 (1), Zawi Yahya, mengakui berat hati untuk meninggalkan sekolah kerana kerjaya perguruan sebati dengan jiwanya, namun gembira kerana berpeluang mendidik anak bangsa.

"Saya gembira dapat membantu meningkatkan kecemerlangan sekolah ini dengan catatan pencapaian gred purata mata pelajaran 3.31 dalam keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2014.

"Saya harap generasi pelajar seterusnya dapat mengekalkan kecemerlangan ini untuk dijadikan contoh dan disegani pihak luar," katanya kepada BH pada majlis persaraannya di SMK Presint 8(1) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Pelajaran Putrajaya, Roaini Jaafar; Penolong Kanan Akademik SMK Presint 8(1), Nor Hayati Ishak; Ketua Pengarah Jabatan Unit Pembangunan Sektor Khidmat Pengurusan dan Pembangunan Jabatan Pelajaran Perak, Tun Mohd Rumaizi Mohd Zamri serta Yang Dipertua PIBG SMK Presint 8(1), Roslan Abu Hanif.

Pada majlis, itu Zawi diraikan oleh lebih 900 warga sekolah dan dibawa menaiki kereta mengelilingi pekarangan sekolah.

Zawi memulakan kerjaya dalam bidang perguruan pada tahun 1979 di Anglo Chinese School, Ipoh, Perak selepas memperoleh diploma bagi subjek Matematik Tambahan dan Fizik.

Beliau melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Sains di Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 1986 dan memulakan perkhidmatan sebagai guru siswazah bagi pelajaran Matematik dan Bahasa Melayu di SMK Tun Abdul Razak, Selekoh, Perak (1986-1988).

Zawi pernah menerima Pingat Ahli Mangku Negara (AMN), Anugerah Guru Inovasi Negeri Perak (2001, 2002 dan 2004) dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kementerian Pendidikan (2001 dan 2007).

Berita Harian X