Jumaat, 23 September 2016 | 6:06pm

IIDEX platform wujudkan pencipta muda


MENTERI Pendidikan Tinggi, Datuk Dr. Mary Yap Kain Ching (tiga dari kiri), Naib Canselor UITM, Professor Emeritus, Datuk Dr Hassan Said (kiri) dan Pengarah Urusan Bank Islam Malaysia, Datuk Sri Zukri Samat (empat dari kiri) menyerahkan hadiah kepada pemenang Diamond Award Junior Inventor dari Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Gombak sempena Majlis Penutup Pertandingan Invention, Innovation dan Design Exposition 2016 (IIDEX) di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC), UITM Shah Alam. - Foto Intan Elliana Zakaria

SHAH ALAM: Ekspo Reka Cipta, Inovasi dan Reka Bentuk (IIDEX) boleh menjadi platform pertama untuk pelajar menonjolkan bakat mereka cipta produk komersial serta mesra alam.

IIDEX yang dianjurkan Institut Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (IRMI) Universiti Teknologi MARA (UiTM), memasuki edisi ke-12 tahun ini dan mendapat penyertaan kampus cawangan UiTM, universiti swasta serta sekolah.

Naib Canselor UiTM, Prof Emeritus Datuk Dr Hassan Said, berkata IIDEX mula membuka peluang kepada sekolah menyertai ekspo itu pada tahun 2015 dan sambutan diterima amat memberangsangkan.

"Untuk menggalakkan penyertaan sekolah, kita mengenakan yuran penyertaan minimum kerana bukan semua sekolah mempunyai bajet tinggi untuk menyertai ekspo seperti ini.

"Apa yang penting, pelajar dapat berinovasi, meningkatkan keyakinan mempamerkan produk di sini setaraf ciptaan peserta di peringkat universiti," katanya selepas Majlis Penutup IIDEX 2016 di Dewan Agong Tuanku Canselor (DATC) di sini, hari ini.

Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Gombak yang disertai tiga pelajar Tingkatan Empat iaitu Fatin Nadhirah Ahmad Tarmizi, Nur Nabilah dan Umroh Laman Abdul Rohman diumum pemenang Junior Inventor dengan produk jubin mesra alam yang dihasilkan daripada kulit telur.

Fatin Nadhirah berkata, mereka mendapat idea menghasilkan jubin daripada kulit telur selepas melihat bahan itu dibuang setiap hari ketika berada di asrama.

"Kami tampil dengan idea menghasilkan jubin mesra alam seperti dipamerkan di ekspo ini," katanya.

IIDEX 2016 menerima 745 penyertaan dan 108 daripada adalah dari peringkat sekolah.

Berita Harian X