Selasa, 25 November 2014 | 5:09pm

Pembesaran lapangan terbang Sultan Ismail Petra dalam perancangan


Lapangan Terbang Ismail Petra (LTSIP) di Kota Baharu, Kelantan.

KUALA LUMPUR: Kerajaan mempunyai rancangan untuk membesarkan Lapangan Terbang Ismail Petra (LTSIP) di Kota Baharu bagi menampung bilangan penumpang yang semakin meningkat.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi, berkata projek itu membabitkan anggaran kos RM172 juta, adalah antara yang dipohon untuk Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).

"Sebagai antara lapangan terbang paling sibuk di negara ini, kementerian mengumumkan satu projek dalam RMK11 untuk membesarkan lapangan terbang ini bagi menampung penumpang yang dijangka mencecah 2.5 juta setahun," katanya menjawab soalan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (BN-Machang) pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.

Katanya, projek itu meliputi cadangan pembesaran terminal LTSIP yang kini mengendalikan 1.5 juta penumpang setahun.

Kepada soalan asal Ahmad Jazlan, Abdul Aziz berkata kerajaan setakat ini tidak mempunyai rancangan untuk menjadikan LTSIP sebagai lapangan terbang antarabangsa.

Bagaimanapun, beliau berkata lapangan terbang itu mampu menampung keperluan untuk penerbangan antarabangsa sekiranya terdapat permintaan daripada syarikat penerbangan.

Justeru, katanya, tiada keperluan untuk memanjangkan landasan LTSIP. - BERNAMA

Berita Harian X