Sabtu, 24 September 2016 | 9:09pm

Ops Samseng Jalanan di Kota Kinabalu

KOTA KINABALU: Sebanyak 15 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas dalam Ops Samseng Jalanan dan Ops Mabuk di beberapa jalan utama sekitar bandar raya, awal pagi tadi.

Operasi yang bermula jam 11.30 malam hingga 6 pagi itu membabitkan empat jalan utama iaitu Jalan Coastal, Jalan Lintas, Jalan Tuaran Bypass dan Jalan Kepayan. 

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra, berkata seramai lima orang yang berusia antara 27 hingga 50 tahun turut ditahan mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol dalam operasi berkenaan.

"Sebanyak 25 kenderaan turut diperiksa secara teliti dalam operasi itu dan kita turut menyita tiga buah motosikal atas pelbagai kesalahan trafik.

"Seramai 30 orang turut diperiksa dalam operasi itu," katanya dalam kenyataannya di sini, hari ini.

Seramai 10 anggota termasuk seorang pegawai terbabit dalam operasi selama enam jam itu.

Chandra berkata, usaha penguatkuasaan akan dijalankan secara berterusan bagi mencegah kegiatan samseng jalanan dan mengesan pemandu yang memandu dalam keadaan mabuk.

"Kita akan mengadakan lebih banyak operasi seperti ini supaya dapat mengurangkan bilangan samseng jalan raya dan pemandu mabuk," katanya.

Berita Harian X