Ahad, 25 September 2016 | 12:08am
HANIS Zalikha bersama anaknya,Yusuf Iskandar.

Hanis Zalikha gusar berjauhan dengan anak

KELAHIRAN anak sulung pada 3 Jun lalu mengubah dimensi hidup pelakon dan pengacara, Hanis Zalikha. Setiap kali menatap wajah bersih Yusuf Iskandar, bibir isteri kepada pelakon Hairul Azreen tidak putus memanjatkan syukur kepada Allah SWT atas anugerah paling bermakna dalam hidupnya.

Hanis berkata, kehadiran Yusuf yang dilahirkan secara normal di sebuah pusat perubatan di ibu kota menyita sebahagian besar masanya apabila seluruh perhatiannya diberikan kepada anak yang menjadi pengikat kasihnya dan suami.

PELAKON dan pengacara, Hanis Zalikha bersama suami, Hairul Azreen dan anak mereka Yusuf Iskandar.

"Banyak perkara baharu yang saya dan suami pelajari sejak kehadiran Yusuf. Kami berdua menjaganya sepenuh masa. Alhamdulillah, biarpun masih kekok namun saya dan suami berusaha melaksanakan amanah Allah itu dengan sebaik mungkin.

"Melihat anak membesar di depan mata memberikan saya nikmat yang terindah. Saya bersyukur kerana suami banyak membantu, malah sentiasa berkongsi idea dan ilmu mengenai cara mendidik anak. Hubungan kami suami isteri juga bertambah mesra selepas mempunyai anak.

"Mungkin kerana ini pengalaman pertama sebagai ibu, membuatkan saya sukar berjauhan dengan anak. Paling lama saya berjauhan dengan Yusuf, sekitar tiga atau empat jam. Selesai tugasan, saya akan bergegas pulang ke rumah dan mendapatkan anak.

"Terlalu banyak yang saya fikirkan setiap kali keluar, membuatkan saya tidak selesa lama berjauhan," katanya.

HANIS Zalikha bersama Hairul Azreen dan anak mereka Yusuf Iskandar ketika bertemu Tun Dr Mahathir dan isteri, Tun Dr. Siti Hasmah.

Hanis bersyukur dikurniakan suami yang begitu memahami, malah Hairul juga ringan tulang membantunya setiap kali melihatnya tidak menang tangan melayani keletah Yusuf.

"Hairul sangat bertanggungjawab, malah tidak pernah merungut apabila saya memintanya membantu melayani Yusuf. Dia bagaikan tidak sabar menanti anak kami membesar. Saya gembira kerana dapat melalui fasa yang mematangkan kami dalam melayari kehidupan berumah tangga.

"Yusuf hadir tepat pada masanya dan dirinya disayangi ramai. Saya dan suami terharu apabila peminat turut memberikan perhatian kepada Yusuf," katanya.

Sama seperti selebriti lain, keterujaan mereka menimang cahaya mata turut dikongsi menerusi akaun laman sosial, Instagram peribadi Yusof yang kini mempunyai lebih 400,000 pengikut. Bagi Hanis, akaun itu diwujudkan sekadar untuk berkongsi perkembangan diri Yusuf dengan peminat yang sering bertanya mengenai anak mereka.

HANIS Zalikha bersama anaknya,Yusuf Iskandar.

"Timbul timbul persoalan terlalu awal untuk anak kami memiliki akaun laman sosial kerana apa yang kami lakukan ini selari dengan perkembangan teknologi semasa. Jika dilihat, bukan hanya selebriti tetapi orang biasa juga memanfaatkan laman sosial untuk berkongsi keterujaan, terutama apabila kali pertama menimang cahaya mata," katanya.

Dikenali menerusi program, Raikan Cinta, Hanis berkata, dirinya masih belum memikirkan perancangan kerjaya seninya selepas hampir dua tahun memperlahankan rentak kerana menumpukan perhatian kepada rumah tangga dan perniagaan.

"Ketika ini, fokus utama saya adalah anak selain menguruskan perniagaan. Alhamdulillah, biarpun hampir dua tahun memperlahankan kerjaya seni, saya masih diintai sebagai duta produk tetapi belum dapat dikongsi lagi segala butirannya," katanya.

INSTAGRAM peribadi Yusof Iskandar kini mempunyai lebih 400,000 pengikut

Hanis yang ditemui pada majlis resepsi bekas pengacara program hiburan, HLive!, Shalma Ainaa dan pasangannya, Wan Imar Izzat di Shah Alam, baru-baru ini juga kelihatan ramping, sama seperti ketika zaman gadisnya. Mengakui tidak mempunyai rahsia tertentu untuk mendapatkan bentuk badan asalnya, Hanis hanya menitikberatkan amalan dan pantang larang ketika berpantang.

"Saya berpantang mengikut cara tradisional, selain menjaga pemakanan. Sepanjang berpantang, saya mengamalkan pengambilan ikan salmon malah hampir setiap hari menikmatinya. Alhamdulillah, kesan disiplin yang diterapkan, saya mampu mendapatkan semula berat badan asal," katanya.

Berita Harian X