Ahad, 25 September 2016 | 12:00pm

Anak sakit ujian masa belajar

Md Fuzi (kanan) meraikan kejayaan isterinya, Suhaibatutasalamiah selepas menerima ijazah daripada Pro Canselor UPSI, Prof. Tan Sri Dr. Zakri Abdul Hamid.

TANJUNG MALIM: Keadaan anak yang sakit dan berulang alik ke hospital ketika memulakan Pengajian Jarak jauh (PJJ) di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) tidak mematahkan semangat untuk Suhaibatutasalamiah Omar, 42, menamatkan pengajian.

Segala pengorbanan Suhaibatutasalamiah ternyata berbaloi apabila berjaya menggenggam Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Muzik (Minor Bahasa Melayu) .

Guru Sekolah Kebangsaan Bukit Beruntung, Hulu Selangor itu antara graduan yang menerima ijazah pada sesi kelapan Istiadat Konvokesyen Ke-18 UPSI dan menerimanya daripada Pro Canselor UPSI, Prof Tan Sri Dr Zakri Abdul Hamid di Dewan Besar, Kampus Sultan Azlan Shah semalam.

Bagaimanapun, beliau berkata, kejayaannya itu disokong kuat oleh suami, Md Fuzi Abd Lateh, 45, sekali gus menjadi pendorong dan pembakar semangatnya.

Md Fuzi ialah Pegawai Khas, Timbalan Menteri Pendidikan I, Datuk P Kamalanatan.

Suhaibatutasalamiah berkata, walaupun menghadapi pelbagai cabaran dan kekangan tugas di sekolah namun itu tetap tidak mematahkan semangat untuk belajar.

"Antara kenangan paling sukar saya lupakan semasa belajar apabila anak bongsu, Syaza Minhalina, 5, beberapa kali dimasukkan ke wad kanak-kanak kerana menghidap komplikasi asma dan jangkitan kuman dalam paru-paru ketika saya perlu menghadiri kuliah yang penting pada hujung minggu ," katanya.

Suhaibatutasalamiah yang memperoleh PNGK 3.54 berkata, kejadian itu menjadi fobia kepada dirinya berikutan berlaku pada awal semester yang ketika baru memulakan pembelajaran.

"Bagaimanapun, saya bersyukur mendapat kawan-kawan dan pensyarah yang banyak membantu mendapatkan bahan-bahan yang saya tertinggal. Saya juga bersyukur dapat menyiapkan semua tugasan yang diberikan pensyarah mengikut tempoh ditetapkan, " katanya.

Sementara itu, Md Fuzi, menyifatkan kegigihan isterinya menjadi contoh kepada empat orang anak mereka iaitu Maisara Subhatina, 14; Muhammad Fawwaz Iskandar, 11; Muhammad Fariz Idraki, 9, dan Syaza Minhalina, 5,.

"Saya berbangga kerana isteri akhirnya berjaya membuktikan usahanya melanjutkan pengajian dan sentiasa memberikan semangat jika melihat semangatnya semakin pudar, " katanya.

Berita Harian X