Isnin, 26 September 2016 | 12:02am
Persembahan Makyung menggabungkan lakonan, nyanyian, muzik, busana dan pergerakan.

Mesej kehidupan dalam makyung

Makyung warisan tradisi yang wajar dipelihara.

Berbeza tanggapan umum yang melihat makyung hanyalah warisan budaya, Timbalan Dekan Pusat Pengajian Seni Universiti Sains Malaysia (USM), Dr AS Hardy Shafii menyifatkannya membawa mesej ketuhanan dengan penekanan kepada kepentingan hubungan antara Tuhan dan makhluknya.

AS Hardy berkata, bangsal atau pentas persembahan makyung menjadi simbol kepada pentas tempat tinggal manusia, manakala empat tiangnya melambangkan empat huruf yang membentuk nama Tuhan.

Justeru, beliau menegaskan persembahan makyung bukanlah membawa kepada unsur khayalan, sebaliknya mengingatkan penonton terhadap hakikat sebenar dan makna kewujudan alam.

Sorotan baharu itu dikongsi pada Seminar Kearifan Tempatan di Muzium Negara di sini, ketika membentangkan makalah bertajuk Penghayatan Konsep Persembahan Teater Tradisional Makyung dalam Pemuliharaan Seni Budaya Warisan: Refleksi Budaya Melayu melalui Repertoire Makyung.

Beliau berkata, makyung secara umum difahami sebagai warisan tradisi yang menggabungkan lakonan, nyanyian, muzik, busana dan pergerakan yang biasanya diadakan sebagai ritual penyembuhan, tetapi mengalami evolusi sehingga dilihat lebih kepada persembahan kebudayaan pada masa kini.

"Makyung dipercayai bertapak di negara ini sebelum kedatangan Islam lagi dan dimainkan di bawah naungan Istana Kelantan hingga dekad 1920-an," katanya.

Pada 2005, makyung diiktiraf sebagai warisan tidak ketara melalui pengisytiharan terhadap adi karya lisan warisan tidak ketara oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan (UNESCO), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Tegas AS Hardy, berdakwah melalui kesenian sebenarnya bukanlah sesuatu yang luar biasa kerana sejarah merekodkan pendakwah seperti Wali Songo di Jawa menggunakan medium kesenian dan kebudayaan dalam menyebarluaskan agama Islam.

AS Hardy menyifatkan pergerakan dalam makyung dalam bentuk gerakan lawan jam yang menjadi pergerakan asas alam. Dalam asas pembelajaran sains misalnya pada struktur atom, terdapat elektron bergerak dalam atom yang mengandungi cas negatif dan berputar mengelilingi nukleus.

"Pendidikan agama tradisional seperti sistem halaqah diterapkan dalam konsep persembahan dan refleksi budaya dan agama dalam makyung perlu difahami asasnya, sekali gus bukan melihatnya dengan kaca mata sekular dan estetika sahaja.

"Ia seharusnya bermula peringkat awal dengan melihatnya dari sudut konsep mudah untuk menumbuhkan rasa bangga dengan budaya sendiri," katanya.

Pada masa sama, beliau meminta polisi keutamaan budaya tempatan dalam sistem pendidikan dan kesenian di negara perlu diperhalusi kembali bagi mengelakkan warisan budaya tidak hanya tertinggal dalam muzium, galeri dan perpustakaan atau untuk sajian pelancong sahaja.

Berita Harian X