Isnin, 26 September 2016 | 12:07am
PELANGGAN menjamu selera di Kula Cakes yang berkonsepkan taman. - Foto Luqman Hakim Zubir
SUASANA di dalam kedai Kula Cakes. - Foto Luqman Hakim Zubir
KEDAI Kula Cakes mula beroperasi pada 2013 di Jalan Besar Kuantan. - Foto Luqman Hakim Zubir
FARISHA menyediakan kek keju mangga yang terkenal di kedainya. - Foto Luqman Hakim Zubir
FARISHA menunjukkan dua jenis kek keju mangga yang sering menjadi pilihan pelanggan di Kula Cakes. - Foto Luqman Hakim Zubir

Kek keju mangga Farisha "ikon" Kuantan

KUANTAN: Seorang bekas pensyarah kolej swasta di sini mampu meraih pendapatan antara RM2,500 hingga RM3,000 sehari hasil perniagaan kek, terutama kek keju mangga yang kini menjadi pemanis mulut popular di bandar ini.

Hasil air tangan Farisha Mazlan, 28, iaitu kek keju mangga yang dibuat dengan resipi ciptaan sendiri boleh dianggap sebagai 'ikon' baharu untuk bandar ini.

Sebut sahaja kek keju mangga, penggemarnya sudah pasti terbayangkan Kuantan.  


FARISHA menyusun sebahagian kek di kedainya. - Foto Luqman Hakim Zubir

Farisha berkata, beliau mengambil keputusan berhenti kerja sebagai pensyarah di sebuah kolej swasta untuk membuka perniagaan itu selepas makanan pemanis mulut seperti kek keju mangga dijual di sebuah restoran di sini mendapat sambutan menggalakkan.

"Saya mula membuka kedai Kula Cakes pada 2013 di Jalan Besar Kuantan, ia menyediakan pelbagai jenis kek dengan ruang makanan yang santai berkonsepkan taman, ada antara pelanggan datang dari Kuala Lumpur, Johor dan Terengganu hanya untuk makan kek keju mangga.

"Pendapatan daripada perniagaan ini agak memuaskan dan saya mampu memperoleh pendapatan bersih RM3,000 sehari," kata ibu kepada seorang cahaya mata perempuan ketika ditemui BH di sini.


SUASANA santai di Kula Cakes. - Foto Luqman Hakim Zubir

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Arkitek dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), berkata setiap hari dia memerlukan 180 kilogram (kg) mangga untuk memenuhi permintaan orang ramai sekitar Kuantan dan ejen yang menjualnya di luar negeri Pahang.

"Bukan mudah membuat kek keju mangga kerana ia memerlukan ketelitian terutama bagi memastikan ia mampu bertahan selama dua minggu jika disimpan secara sejuk beku.

"Purata kek keju mangga yang dijual setiap sehari ialah 20 biji yang dipotong kepada beberapa kepingan, ada juga kek jenis lain dijual iaitu pavlova, red velvet, toblerone cheese, creme brulee, brownies, victoria sandwich dan kek lobak," katanya.


PELANGGAN menjamu selera di Kula Cakes. - Foto Luqman Hakim Zubir

Berasal dari Tok Sira di sini, Farisha berkata, walaupun beliau tidak mempunyai pengalaman dalam bidang kulinari dan pembuatan kek, ia bukan alasan untuk berjaya.

"Paling penting adalah berusaha keras dan saya melalui pelbagai cabaran seperti kek dibuat tidak 'menjadi', kek menjadi masam, pahit dan berkulat, namun ia tidak menghalang saya untuk meneruskan impian," katanya.

Katanya, dia ada menerima tawaran membuka lebih banyak cawangan namun terpaksa ditolak kerana mahu memfokuskan kepada satu kedai sahaja dalam memastikan kualitiinya terjamin.

"Ia memerlukan perancangan teliti, apa guna kalau mempunyai beberapa cawangan tetapi tidak mampu menguruskannya dengan baik sehingga boleh menjejaskan seluruh peniagaan," katanya.

Keunikan menikmati di Kula Cakes, orang ramai bukan hanya dapat menikmati kek keju mangga yang enak tetapi dalam suasana santai seolah-olah seperti berada dalam taman dengan dekorasi dinding mural berkonsepkan hidupan hijau diilhamkan suaminya, Ahmad Waqiuddin Ahmad Latifi, 30.


KEK keju mangga yang dibuat dengan resipi sendiri boleh dianggap sebagai 'ikon' terbaru di Kuantan. - Foto Luqman Hakim Zubir

INFO

# Harga sepotong kek bermula dari RM5 hingga RM10

# Harga bagi sebiji kek bermula dari RM70 hingga RM130

# Minuman istimewa di Kula Cakes adalah Pandan Cooler

# Kula Cakes turut menyediakan kek untuk majlis hari jadi dan perkahwinan

 

Berita Harian X