Selasa, 25 November 2014 | 10:01pm
TAN Sri Muhyiddin Yassin ketika berucap pada perasmian serentak Persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2014 di Dewan Merdeka, PWTC malam ini. - Foto Aizuddin Saad

DEB bukan dasar yang menyekat pelaburan - Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan tuduhan bahawa Dasar Ekonomi Baharu (DEB) sebagai satu dasar terkebelakang, menyekat pelaburan dan hanya menguntungkan segelintir pihak yang mempunyai kabel politik.

Timbalan Presiden UMNO berkata, tuduhan meleset itu dilemparkan mereka yang sarat dengan kebencian, sedangkan dasar itu terbukti berjaya mengeluarkan masyarakat daripada belenggu kemiskinan dan mampu menangani penguasaan ekuiti asing dalam ekonomi negara.

Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, secara umumnya kedudukan ekonomi orang Melayu hari ini masih meruncing.

"Ketidaksaksamaan dalam masyarakat agak menggerunkan kita. Pada masa sama, kita berhadapan dengan pelbagai cabaran dalam meneruskan agenda ekonomi Melayu. Kita bersaing dalam ekonomi yang lebih terbuka. Kita berhadapan dengan fahaman kesamarataan yang menentang sebarang pelaksanaan agenda Melayu.

"Menerusi pelbagai instrumen perjanjian perdagangan bebas antarabangsa, negara kita didesak supaya jangan lagi mengamalkan dasar untuk melindungi kepentingan kaum Bumiputera. Kononnya, dasar seperti itu adalah penghalang kepada pembangunan ekonomi dan merencatkan pasaran. Padahal, dasar ini pernah digunakan oleh negara maju lebih setengah abad sebelum mereka mencapai tahap negara maju," katanya berucap pada perasmian serentak Persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2014 bertajuk 'Merekayasa Perubahan Mendepani Zaman' di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, sebentar tadi.

Menerusi DEB, beliau berkata kerajaan menetapkan sasaran pemilikan ekuiti Bumiputera sebanyak 30 peratus sekurang-kurangnya dan penyertaan Bumiputera digalakkan dalam setiap sektor ekonomi.

Dasar ini dibentuk supaya ekonomi berkembang dan pengagihan berlaku secara adil dan saksama. Banyak kajian ilmiah yang menunjukkan bahawa semua kaum mendapat manfaat daripada pelaksanaan DEB.

"Ini termasuk kajian mutakhir Dr Muhammed Abdul Khalid yang diterbitkan di dalam bukunya 'The Color of Inequality' yang membuktikan DEB memberi manfaat kepada semua kaum dari segi pembasmian kemiskinan, peningkatan pendapatan, peluang pekerjaan dan pemilikan ekuiti," katanya.

Bagaimanapun, Muhyiddin berkata, 24 tahun selepas pelaksanaan DEB berakhir, negara kembali mendengar keluh kesah dan gundah-gulana masyarakat Melayu.

Dalam era pasca DEB, data terbaharu Jabatan Perangkaan Malaysia untuk tahun 2013 menunjukkan jurang ekonomi antara kaum masih wujud. Misalnya, pendapatan bulanan isi rumah Bumiputera sebanyak RM3,282 masih rendah berbanding kaum Cina, iaitu RM4,643 dan kaum India sebanyak RM3,676.

Dalam kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah, 75.5 peratus adalah Bumiputera. Pemilikan hartanah dalam kalangan Bumiputera juga masih jauh lebih rendah berbanding kaum-kaum lain. Hanya 36.3 peratus transaksi bangunan hartanah kediaman membabitkan Bumiputera. Pemilikan hartanah bangunan industri dan perdagangan Bumiputera juga rendah iaitu 2.37 peratus bagi hartanah industri dan 7.85 peratus bagi hartanah perdagangan.

Beliau juga berkata, satu kebenaran yang pahit untuk diakui ialah kaum Bumiputera masih menerima layanan yang tidak saksama dalam sektor swasta.

"Kajian Dr Lee Hwok Aun dan Dr Muhammed Abdul Khalid pada tahun 2012 mendapati bahawa bagi setiap seorang graduan Melayu yang dipanggil temuduga dalam sektor swasta, secara purata 5.3 graduan Cina ditemuduga, walaupun mereka mempunyai kelulusan yang sama.

"Data rasmi juga menunjukkan kadar pengangguran adalah tertinggi dalam kalangan tenaga kerja Bumiputera iaitu 70.3 peratus, termasuk graduan menganggur sebanyak 66.9 peratus. Kita juga sering mendengar keluhan pekerja Bumiputera yang menerima gaji lebih rendah berbanding kaum-kaum lain dalam sektor swasta.

"Pakar ekonomi Just Faaland, J R Parkinson dan Rais Saniman membuktikan dalam buku mereka 'Growth and Ethnic Inequality: Malaysia's New Economic Policy', bahawa pekerja Bumiputera menerima gaji 20 hingga 40 peratus lebih rendah berbanding bukan Bumiputera," katanya.

Berita Harian X