Isnin, 26 September 2016 | 8:16am

Sertai badan sukarelawan‎ bantu pasukan keselamatan‎

SHAHIDAN (kiri) bersama Noor Alam Khan dalam sidang media selepas Program Tautan Pemimpin Rakyat, di Sandakan. - Foto Poliana Ronnie Sidom

SANDAKAN: Jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK) dan pemimpin setempat digesa menyertai badan sukarelawan untuk membantu usaha pasukan keselamatan menangani jenayah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim, berkata antara yang boleh disertai adalah‎ Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) dan pasukan simpanan sukarelawan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), selain beberapa badan sukarelawan lain.

Katanya, penyertaan dalam badan sukarelawan membolehkan mereka memberi khidmat sokongan kepada pasukan keselamatan membendung jenayah termasuk rentas sempadan, selain menikmati elaun sama seperti ditawarkan kepada pasukan polis simpanan serta badan sukarelawan lain.

"Kita galakkan JKKK menyertai APM dan mereka yang tinggal di tepi pantai boleh sertai pasukan sukarelawan APMM.

"Ini cara rakyat bekerjasama dengan kerajaan untuk menjaga keselamatan, bukan hanya menyalahkan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) bila berlaku jenayah (rentas sempadan).

"Ini akan membolehkan tindakan lebih cepat diambil sebelum pasukan keselamatan tiba seperti ada nelayan asing atau pendatang asing menceroboh," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Tautan Pemimpin Rakyat anjuran ESSCOM di sini, malam tadi.

Yang turut hadir ialah Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Zakaria Edris dan Ketua Pegawai Eksekutif ESSCOM, Noor Alam Khan Abdul Wahid Khan.

Berita Harian X