Isnin, 26 September 2016 | 6:43pm

TH tunggu makluman Saudi caj baharu visa haji, umrah

PUCHONG: Kadar caj baharu visa haji dan umrah akan diumumkan selepas Lembaga Tabung Haji (TH) menerima makluman rasmi kerajaan Arab Saudi dalam masa terdekat.

Pengerusi TH, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, berkata perkara berkenaan sudah diteliti kerajaan Arab Saudi kerana turut membabitkan jemaah di seluruh dunia.

Beliau berkata, kerajaan akur dengan keputusan kerajaan Arab Saudi demi menjaga kepentingan persahabatan kepimpinan Arab Saudi dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Katanya, peranan TH diiktiraf kerajaan Arab Saudi dan kerjasama sedia ada akan diteruskan bagi manfaat jemaah Malaysia.

"Kita akan cuba dapatkan kenyataan rasmi kerajaan Arab Saudi selepas musim haji berakhir.

"Kadar caj visa mungkin dikenakan bagi jemaah umrah bulan depan tetapi mengikut kenyataan media Arab Saudi, ia dilaksanakan tahun depan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan insurans dan khairat kematian bernilai RM151,000 kepada ahli keluarga petugas haji TH, Sajari Sawi, 56 yang meninggal dunia akibat serangan jantung di Tanah Suci pada 14 September lalu.

Yang hadir sama, Ahli Lembaga Pengarah TH, Tan Sri Shukry Mohd Salleh dan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Johan Abdullah.

Berita Harian X