Selasa, 27 September 2016 | 2:41pm

1,000 murid sertai acara 'Silat Seribu'


TIMBALAN Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Bharu, Shamsul Bahari Jaafar (kanan) melakukan lawatan ke gerai pameran sempena Hari Terbuka dan Apresiasi Kemerdekaan 2016 di Sekolah Kebangsaan (SK) Mentuan, Binjai, Kota Bharu. - Foto Faris Zainuldin

KOTA BHARU: Seramai 1,000 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Mentuan di sini, mengambil bahagian dalam persembahan Silat Seribu yang diadakan sempena Hari Terbuka dan Apresiasi Kemerdekaan 2016, hari ini.

Timbalan Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Bharu, Shamsul Bahari Jaafar, berkata program itu memberi kesan positif kepada murid dalam membentuk jati diri dan disiplin serta pendedahan mengenai seni pertahanan diri tradisional.

"Kami teruja melihat semua murid sekolah dan guru berpakaian seperti pendekar dan PPD menyokong penuh acara yang dianjurkan pihak sekolah ini," katanya ketika ditemui.

Acara berkenaan mendapat kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah serta menarik minat kira-kira 100 penduduk setempat yang hadir menyaksikan persembahan.

Sementara itu, Yang Dipertua PIBG SK Mentuan, Mohd Aziz Che Hamid, berkata pihaknya turut membantu mengumpul dana untuk menjayakan acara itu.

"Program ini berjaya dianjurkan dengan kerjasama PIBG dan masyarakat setempat walaupun diberi masa yang singkat. Latihan kepada murid hanya dalam tempoh seminggu, namun mereka menunjukkan minat mendalam terhadap seni warisan Melayu ini," katanya.

Berita Harian X