Selasa, 27 September 2016 | 4:05pm

Lelaki pukul isteri dipenjara 18 bulan

MOHD Reizuan Mokhtar, (kanan) dijatuhi hukuman penjara 18 bulan oleh Mahkamah Majistret kerana memukul isterinya. - Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak

KUALA TERENGGANU: Seorang lelaki dihukum penjara 18 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas dia mengaku bersalah menyebabkan kecederaan terhadap isterinya.

Mohd Reizuan Mokhtar, 35, yang didakwa mengikut 323 Kanun Keseksaan, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi.

Dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap isterinya, Intan Shafinar Rohani, 29, di rumah mereka di Kampung Surau Panjang, di sini pada jam 4 petang, 18 September lalu.

Pendakwaan kes dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan L Rathna, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta kes, pasangan itu bertengkar sebelum Mohd Reizuan memaki hamun mangsa selepas bengang apabila wanita itu minta 'dilepaskan'.

Tertuduh turut menumbuk belakang kepala dan muka mangsa menyebabkan bibir isterinya pecah dan bengkak, selain sakit bahagian belakang kepala dan bahu serta bengkak jari tangan kiri.

Berita Harian X