Rabu, 28 September 2016 | 12:02am

UMT kaji khazanah dasar Pulau Bidong

SEBAHAGIAN hasil penemuan barang-barang purba di perairan Pulau Bidong.
SEBAHAGIAN hasil penemuan barang-barang purba di perairan Pulau Bidong.

SEBAHAGIAN besar khazanah berupa artifak abad ke-15 yang dipercayai berasal dari Sawankhalok, Thailand masih kekal 'menghuni' tapak kapal karam di perairan Pulau Bidong meskipun bangkai kapal itu sudah ditemui nelayan tempatan sejak 2012.

Dalam tempoh tiga tahun, hanya lima hingga 10 peratus artifak berharga di dalamnya termasuk tembikar, pasu dan kaki patung Buddha dibawa ke darat yang membabitkan dua operasi termasuk pada tahun lalu.

Antara menyebabkan kelewatan kajian ialah ketiadaan pakar tempatan ekoran bidang arkeologi maritim yang masih baru di negara ini seperti disorot dalam Wacana Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) di ATMA, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini.

Felo Penyelidik Kanan (Arkeologi) ATMA UKM, Prof Madya Dr Asyaari Muhamad, berkata sejarah penyelidikan arkeologi maritim tempatan sebelum ini lebih banyak diketuai penyelidik dan pakar dari luar negara seperti Sten Sjostrand, Michael Hatcher dan Michael Flecker.

Beliau berkata, Sjostrand yang bekerjasama dengan syarikat berpangkalan di negara ini, Nanhai Marine Archeology Sdn Bhd (Nanhai), memperoleh pelbagai barang berharga daripada kapal karam Turiang yang dipercayai tenggelam pada 1370; Nanyang (1380) dan Longquan (1400).

ANTARA artifak yang ditemui.
ANTARA artifak yang ditemui.

Inisiatif UMT

"Ketika itu kita tidak mempunyai kepakaran mencukupi, tetapi keadaan berbeza pada masa kini, sekali gus tiba masanya pakar tempatan sendiri membuat kajian membabitkan kapal karam di perairan Pulau Bidong.

"Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sudah mengambil inisiatif menggerakkan kajian lanjut mengenai artifak yang terdapat di tapak kapal karam Pulau Bidong yang akan memberi gambaran mengenai sejarah perairan dan perdagangan awal di alam Melayu pada abad itu.

"Saya sendiri mengunjungi Muzium Samudera Negara di Chantaburi, Thailand dan mereka mengakui artifak ditemui di tapak kapal karam Pulau Bidong itu sememangnya berasal dari negara berkenaan," katanya.

Asyaari yang turut meninjau tapak berkenaan September tahun lalu berkata, sekiranya kajian lanjut tapak kapal karam Pulau Bidong itu segera dilakukan, ia akan menjadi tapak pertama dikendalikan sepenuhnya oleh pakar tempatan.

Beliau berkata, kajian yang dijalankan dengan kerjasama UMT, Jabatan Warisan Negara dan beberapa agensi lain itu akan mengambil masa kira-kira setahun untuk diselesaikan dengan kos mencecah hampir RM10 juta.

"Lebih penting lagi kajiannya akan menggunakan kaedah Ekskavasi Arkeologi Bawah Laut dan bukan Penyelamatan Arkeologi Bawah Laut seperti digunakan dalam kajian terdahulu membabitkan kapal karam di perairan negara ini," katanya.

"Setakat ini apa yang diketahui ialah kapal berkenaan membawa barang muatan dan kajian lanjut akan dapat mengenalpasti banyak maklumat berhubung sejarah pelayaran serta teknologi pembuatannya," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X