Rabu, 28 September 2016 | 6:26pm

Penunggang motosikal maut dilanggar kereta

Keadaan motosikal mangsa yang maut dalam kemalangan di Jalan Persiaran Sultan Ibrahim, Klang. - Foto ihsan Pembaca

KLANG: Seorang penunggang motosikal maut selepas dilanggar sebuah kereta di Persiaran Sultan Ibrahim, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 9.30 pagi itu, Ameer Iqbal Safine, 23 menunggang motosikal bersendirian dari arah Klang ke Shah Alam sebelum melanggar bahagian kanan belakang sebuah kren ketika cuba memotong kenderaan berat berkenaan.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mohd Yusoff Mamat, berkata mangsa tercampak ke tengah jalan dan dilanggar sebuah kereta dari arah sama.

"Pemandu kereta tidak sempat mengelak mangsa yang tercampak ke atas jalan. Ketika kemalangan, trafik perlahan kerana jalan agak sesak.

"Mangsa yang cedera parah di kepala, maut di tempat kejadian dan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang," katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Yusoff berkata, punca sebenar kejadian itu masih disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X