Rabu, 28 September 2016 | 9:46pm

Waris puas hati laporan siasatan MH17

ADIK Allahyarham Noor Rahimmah Mohd Noor, Noorlin Mohd Noor menonton siaran langsung menerusi teleivisyen mengenai pembentangan laporan pasukan siasaatan Pesawat Malaysia Airlines MH17 di Tambun dekat Ipoh. - Foto L.Manimaran

IPOH: Waris kepada seorang daripada penumpang pesawat Malaysia Airlines MH17 yang ditembak jatuh di Donetsk, timur Ukraine, berpuas hati dengan hasil siasatan tragedi itu yang diumumkan, hari ini.

Keluarga Allahyarham Noor Rahimah Mohd Nor, 67, lega dan bersyukur dengan pengumuman itu selepas menunggu selama dua tahun.

Adik bongsu Noor Rahimah, Norlin, 49, berkata sebagai waris, beliau berpuas hati dengan hasil laporan dan penemuan diumumkan oleh Pasukan Penyiasat Bersama (JIT), diketuai Belanda dan disertai Australia, Belgium, Malaysia dan Ukraine itu.

"Tiada apa yang dimahukan seluruh ahli keluarga selain mengetahui siapa sebenarnya bertanggungjawab menembak jatuh pesawat dinaiki kakak saya itu.

"Selepas dapat tahu, kami adik-beradik berasa lega dan kehidupan kami selepas ini lebih tenang selepas dua tahun ternanti-nanti siapa yang punya angkara itu. Bila sudah ada jawapan, Alhamdulillah kami bersyukur dan perasaan lebih tenang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di kediamannya di Kampung Melayu Rizab, Tambun, di sini, sebentar tadi.

Norlin juga menegaskan mereka sekeluarga mahu pihak bertanggungjawab melakukan jenayah itu dikenakan hukuman yang setimpal.

"Pihak yang terbabit pun telah buat penyiasatan hingga ke akar umbi, jadi saya minta kerajaan Malaysia (desak) hukuman seadil-adilnya terhadap pihak tidak bertanggungjawab itu.

"Saya turut berharap seluruh dunia sama-sama sepakat untuk tampil ke hadapan bagi memberi sokongan kepada keluarga waris yang terbabit dalam nahas berkenaan.

"Saya mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan itu kerana apa yang dilakukan sangat kejam. Apa yang mereka rasa kalau perkara sama terjadi pada keluarga mereka?," katanya.

Ketika ditanya mengenai harapannya selepas mengetahui dalang sebenar kejadian itu, Norlin berkata, beliau tidak menuntut sebarang pampasan kerana arwah kakaknya masih mempunyai suami dan dua orang anak.

"Biarlah mereka (suami dan anak Noor Rahimmah) buat keputusan mengenai perkara itu (pampasan)," katanya.

Keluarga arwah Noor Rahimmah iaitu suaminya, Hippolyte Tournier, 72, serta dua anak mereka menetap di luar negara.

Berita Harian X