Khamis, 29 September 2016 | 2:33pm

Lelaki maut ditetak di rumah


MANGSA, M Kumar.

SUNGAI PETANI: Seorang pemandu jengkaut berusia 35 tahun mati ditetak sekumpulan lelaki di rumahnya di Taman Keladi, di sini, malam tadi.

Mangsa, M Kumar, 35, ditemui mati terbaring berlumuran darah di tepi katil di dalam bilik tidur rumah dengan kesan tetakan pada perut, kaki dan kedua belah tangan.

Berdasarkan maklumat, sekurang-kurangnya 10 lelaki rata-ratanya bersenjatakan parang dikatakan menyerbu kediaman mangsa kira-kira jam 12.20 tengah malam, sebelum memecahkan pintu dan pagar rumah yang dikunci mangsa.

Mangsa dikatakan cuba bersembunyi di dalam bilik tidur, namun gagal apabila diserang dan ditetak bertalu-talu kumpulan lelaki terbabit.

Sumber polis ketika dihubungi berkata selepas melihat mangsa tidak sedarkan diri, semua suspek terus melarikan diri.

"Pihak polis yang menerima maklumat bergegas ke lokasi dan menemui mayat mangsa di dalam bilik tidur rumahnya.

"Mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini, untuk bedah siasat," katanya.

Berita Harian X