Khamis, 29 September 2016 | 2:40pm

Climbathon Antarabangsa Gunung Kinabalu dengan laluan baharu lebih mencabar

GUNUNG Kinabalu. - Foto hiasan
GUNUNG Kinabalu. - Foto hiasan

KOTA KINABALU: Selepas 'berehat' akibat gempa bumi pada 2015, Climbathon Antarabangsa Gunung Kinabalu dianjurkan kembali tahun ini menggunakan laluan berbeza serta lebih mencabar.

Berikutan itu, jumlah penyertaan juga dihadkan dengan setakat ini seramai 109 peserta dari dalam dan luar negara yang dijemput telah mengesahkan penyertaan.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Pang Yuk Ming, berkata untuk edisi ke-29 ini, pihaknya tidak mengadakan kejohanan itu secara terbuka kerana mengambil kira beberapa faktor.

"Pada tahun ini, kita hanya mengambil peserta jemputan yang berkelayakan sahaja kerana laluan digunakan berbeza serta lebih mencabar.

"Setakat ini, 109 peserta daripada 120 yang kita jemput telah mengesahkan penyertaan dan kita yakin jumlah itu akan bertambah menjelang perlumbaan nanti," katanya di pejabat Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, di sini, hari ini.

Yuk Ming berkata, selain wakil tempatan, antara peserta antarabangsa yang turut mengambil bahagian ialah dari Britain, Hong Kong, Australia, Brunei, Perancis, Indonesia, Jepun, Kenya, Mexico, Filipina, Singapura, Sepanyol, Taiwan dan Amerika Syarikat.

"Walaupun jumlah penyertaan menurun secara mendadak, sebenarnya jumlah peserta yang mengambil bahagian dalam larian hingga ke puncak bertambah berbanding edisi terakhir pada tahun 2014.

"Pada 2014, kira-kira 60 peserta mengambil bahagian bagi acara larian hingga ke puncak namun tahun ini kita hanya membuka kategori itu saja (larian hingga ke puncak) dan semua yang menyertainya iaitu lebih 100 peserta akan mengharungi cabaran terbabit," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya masih menetapkan prosedur keselamatan seperti penganjuran sebelum ini.

"Kita telah hampir 30 tahun menganjurkan kejohanan ini dan aspek keselamatan sentiasa menjadi keutamaan sekiranya berlaku apa-apa kecemasan.

"Seperti sebelum ini, kita akan menempatkan pasukan keselamatan termasuk polis, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Jabatan Kesihatan, pasukan helikopter dari Sabah Air dan beberapa lagi di kawasan strategik bagi menjalankan pemantauan," katanya.

Berita Harian X