Khamis, 29 September 2016 | 3:10pm

TYT Melaka terima PhD Kehormat LUCT

TUN Mohd Khalil Yaakob terima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Kepemimpinan daripada Canselor Universiti Teknologi Kreatif Limkokwing (LUCT), Sultanah Pahang, Sultanah Hajjah Kalsom pada majlis di LUCT, Cyberjaya, hari ini.

CYBERJAYA: Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Kepemimpinan daripada Universiti Teknologi Kreatif Limkokwing (LUCT).

Penganugerahan itu disempurnakan Canselor LUCT, Sultanah Pahang, Sultanah Hajjah Kalsom dalam satu majlis khas yang diadakan di kampus induk universiti itu, di sini, hari ini.

Anugerah itu diberikan atas jasa besar Mohd Khalil memajukan negeri Melaka selama 12 tahun menjadi Yang Dipertua Negeri Melaka.

Pada majlis itu, Pengasas dan Presiden LUCT, Prof Tan Sri Dr Lim Kok Wing turut membuat kejutan dengan menghadiahkan beca berwarna emas yang menjadi simbol ikonik negeri bersejarah itu selain satu lukisan kanvas besar tokoh itu mengemudi sebuah kapal layar.

Di bawah kepemimpinan Mohd Khalil sejak 2004, Melaka tersenarai sebagai Tapak Warisan UNESCO pada tahun 2008, menaiktaraf lapangan terbang Melaka untuk menarik minat pelabur asing serta menjadikan negeri itu lokasi penggambaran filem antarabangsa.

Berita Harian X