Khamis, 29 September 2016 | 3:50pm

MH17: Waris desak badan antarabangsa segera hukum pelaku


ANGGOTA tentera mengusung keranda mangsa nahas Malaysia Airlines MH17 sejurus tiba di Pengkalan Tentera Udara Diraja Belanda Eindhoven pada 26 Julai 2014. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Malaysia perlu mendesak badan antarabangsa untuk segera menghukum mereka yang bertanggungjawab menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH17.

Bagi, Ammar Syarif Mohd Ghafar, 27, anak kepada penyelia penerbangan kabin MH17, Allahyarham Mohd Ghafar Abu Bakar, keluarganya tidak pernah berputus asa dan berdoa supaya dalang tragedi yang meragut 298 nyawa itu menerima hukuman setimpal.

"Bagi keluarga, kami lega kerana waris semua mangsa MH17 akan mendapat keadilan sewajarnya. Sudah terlalu lama kami menunggu mendapatkan satu jawapan kukuh terhadap apa sebenarnya yang berlaku.

"Jangan abaikan harapan kami untuk melihat pihak bertanggungjawab di sebalik nahas ini diheret ke muka pengadilan kerana itu adalah hasrat terakhir kami," katanya.

Beliau mengulas laporan Pasukan Penyiasat Bersama (JIT) yang mengesahkan MH17 ditembak jatuh oleh peluru berpandu BUK buatan Russia dari perkampungan dikuasai penentang tentera Ukraine di timur negara itu.

JIT yang dianggotai Belanda, Malaysia, Australia, Belgium dan Ukraine mendapati, peluru berpandu BUK yang digunakan untuk menambak pesawat berkenaan melancarkan satu peluru dari perkampungan Pervomaysk sebelum dikembalikan ke Russia.

JIT turut mengenal pasti 100 orang yang dirujuk sebagai berkepentingan tetapi belum mengenal pasti suspek individu secara rasmi.  

90 dibaca
Berita Harian X