Khamis, 29 September 2016 | 4:01pm

Pengarah JKR Melaka dituduh rasuah, ubah wang haram RM1.28j

PENGARAH Jabatan Kerja Raya negeri, Datuk Khalid Omar diiringi Penguatkuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini terhadap 16 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram di Kompleks Mahkamah Melaka, Ayer Keroh. - Foto Rasul Azli Samad

AYER KEROH: Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Melaka dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas 16 pertuduhan membabitkan rasuah dan pengubahan wang haram berjumlah RM1.28 juta di sekitar daerah Melaka Tengah antara tempoh Mac 2014 hingga 15 Ogos lalu.

Tertuduh, Datuk Khalid Omar, 56, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas semua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.

Khalid menghadapi 13 pertuduhan membabitkan dakwaan secara rasuah menerima untuk dirinya suapan dengan nilai RM3,000 hingga RM50,000 daripada beberapa individu sebagai balasan untuk mendapatkan tawaran kerja.

Bagi semua pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan bagi Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 boleh dipenjarakan maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, manakala Seksyen 165 Kanun Keseksaan pula dipenjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Selain itu, tertuduh turut menghadapi tiga pertuduhan membabitkan pengubahan wang haram iaitu memiliki wang berjumlah RM1.08 juta antara 30 Jun hingga 15 Ogos lalu.

Bagi ketiga-tiga pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) dan sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM5 juta atau penjara maksimum 15 tahun.

Pendakwaan kes dilakukan Timbalan Pendakwa Raya SPRM negeri, Ahmad Akram Gharib, manakala tertuduh diwakili peguam bela Azrul Zulkifli Stork.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM250,000 bagi 16 pertuduhan terbabit dengan seorang penjamin, memerintahkan pasport tertuduh dirampas, tertuduh perlu melapor diri setiap bulan di pejabat SPRM negeri, selain menetapkan 4 November depan bagi sebutan semula kes.

Berita Harian X