Jumaat, 30 September 2016 | 3:12pm

Olahraga Terbuka Malaysia kurang sambutan

KUALA LUMPUR: Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia 2016 yang bakal membuka tirai hari ini kurang mendapat sambutan dengan penyertaan atlet dari dalam dan luar negara menurun hingga 20 peratus.

Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim, berkata hanya 380 atlet yang mengambil bahagian pada kejohanan tahun ini yang berpunca daripada sikap sambil lewa persatuan olahraga anggota ASEAN sendiri.

PRESIDEN Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim. - Foto Hasriyasyah Sabudin
PRESIDEN Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim. - Foto Hasriyasyah Sabudin

"Tahun ini Terbuka Malaysia kurang mendapat sambutan. Jumlah penyertaan atlet dari dalam dan luar negara menurun sehingga 20 peratus.

"Selepas pendaftaran ditutup 22 September lalu, kita dapati hanya 380 atlet yang mendaftar untuk mengambil bahagian," katanya pada sidang media di Stadium Universiti Malaya (UM) di sini, semalam.

Beliau berkata, pada peringkat awal banyak negara yang ingin mengambil bahagian seperti Vietnam, Sri Langka, Hong Kong, Iran, Iraq, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan beberapa negara di Afrika, namun mereka menarik diri pada saat akhir.

Sehubungan itu, Karim mahu mencadangkan supaya atlet Asia yang tidak berminat menyertai kejohanan di Asia, tidak dibenarkan menyertai kejohanan yang disokong Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF).

"Saya akan membawa usul itu pada mesyuarat Ahli Majlis Persatuan Olahraga Asia akan datang kerana saya melihat ramai atlet negara ASEAN tidak berminat menghantar penyertaan berbanding atlet kita yang sentiasa bertanding dalam mana-mana kejohanan di rantau Asia.

"Sebagai contoh, Filipina dan Thailand hanya menghantar 11 dan 10 atlet sahaja pada kejohanan kali ini. Saya tidak tahu sama ada persatuan mereka mengalami masalah kewangan atau sebaliknya," katanya.

Selain Filipina dan Thailand, negara luar yang mengesahkan penyertaan kali ini adalah Kuwait, India, Singapura dan Brunei selain 17 kontinjen tempatan termasuk Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia dan Pelapis Majlis Sukan Negara (MSN).

Sementara itu, Raja pecut negara, Khairul Hafiz Jantan sah tidak akan mengambil bahagian dalam acara 100 meter pada kejohanan itu, sebaliknya hanya menyertai acara 200m dan 4x100m manakala rakan sepasukan, Badrul Hisyam Abdul Manap akan mengambil bahagian dalam acara 100m, 200m serta 4x100m.

Presiden Persatuan Olahraga Melaka, S Kanabathy berkata Khairul Hafiz tidak mahu menyertai 100m untuk memberi tumpuan memecahkan rekod kebangsaan 200m milik Tan Sri Dr M Jegathesan iaitu 20.92 saat yang dicipta di Sukan Olimpik 1968 di Mexico," katanya.

Fakta nombor:

6 jumlah negara luar mengambil bahagian

Berita Harian X