Jumaat, 30 September 2016 | 6:07pm

Didenda pamer plat motosikal palsu

 SEORANG kontraktor, Ahmad Daniel Mohamed, diiringi keluar dari mahkamah selepas dikenakan denda RM5,000 atau penjara satu tahun oleh Mahkamah Majistret setelah mengaku bersalah atas pertuduhan mempamerkan nombor pendaftaran palsu pada motosikal Honda EX5 bukan miliknya, Mahkamah Majistret, Ayer Keroh. - Foto Fhatihah Zakinan

AYER KEROH: Seorang kontraktor didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah mempamerkan nombor pendaftaran palsu pada motosikal bukan miliknya, April lalu.

Ahmad Daniel Mohamed, 23, dari Alor Gajah, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Analia Kamaruddin, sejurus pertuduhan dibacakan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Munshi Abdullah, di sini, kira-kira jam 11 pagi, pada 27 April lalu, mengikut Seksyen 108(3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang boleh didenda maksimum RM20,000 atau penjara tidak lebih lima tahun.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Inspektor Nazif Ezra Abdul Rahman, memberitahu mahkamah tertuduh turut mempunyai enam rekod jenayah lampau, selain 20 waran tangkap atas kesalahan tiada lesen memandu sejak tahun 2012.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu hukuman bagi kesalahan itu dan waran tangkap berjalan serentak atas alasan menanggung isteri dan seorang anak kecil.

Mahkamah menjatuhi hukuman denda RM5,000 atau penjara setahun jika gagal membayar denda dan denda RM6,000 bagi semua waran tangkap yang dikeluarkan atau penjara setahun 10 bulan jika gagal dijelaskan.

Berita Harian X