Jumaat, 30 September 2016 | 7:06pm
ANGGOTA Polis membawa mayat bayi perempuan cukup sifat seberat 3 kilogram yang bertali pusat selepas dijumpai oleh pekerja penyelengaraan sampah swasta di dalam tong sampah ketika mahu memasukkan sampah ke dalam lori di Pasir Tumboh, Kota Bharu, jam 3.30 petang ini. - Foto Syamsi Suhaimi

Mayat bayi dalam tong sampah

KOTA BHARU: Mayat seorang bayi perempuan cukup sifat ditemui dalam tong sampah di Jalan Belakang Mardi Pasir Tumbuh, di sini, petang tadi.

Mayat seberat 3 kilogram yang dipercayai baru dilahirkan itu ditemui pekerja penyelenggara sampah swasta kira-kira jam 3.30 petang.

Pekerja terbabit, Mohd Amin Riduan Halim, 31, berkata, mayat bayi itu ditemui ketika dia dan tiga rakan, termasuk pemandu lori sedang mengutip sampah di tong sampah besar di jalan berkenaan untuk dimasukkan ke dalam lori.

Katanya, tiba-tiba kepala seorang bayi terkeluar daripada satu plastik sampah.

"Saya terkejut dan terus mengucap. Bayi itu masih bertali pusat," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Pemandu lori, Hasmizul Hamid, 40, berkata, sebaik rakannya menjerit memberitahu penemuan mayat bayi itu, dia terus menelefon polis.

Katanya, itu kali pertama beliau berdepan kejadian sebegitu sejak tujuh tahun bekerja sebagai pemandu lori.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Assisten Komisioner Baharom Abu mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Berita Harian X