Jumaat, 30 September 2016 | 8:48pm

Murid Tahun Satu maut kemalangan

KLANG: Seorang murid Tahun Satu maut selepas motosikal yang diboncengnya melanggar bahagian belakang sebuah kereta dalam kemalangan di Jalan Paip, Meru, di sini, tengah hari tadi.

Mangsa, Zahirah Abdul Muiz, 7, yang juga murid Sekolah Kebangsaan Meru 2, maut di tempat kejadian disebabkan kecederaan parah di bahagian kepala, manakala bapa angkatnya, Zaimizan Jamali, 38, cedera parah di tangan dan kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR).

Pegawai Turus Trafik Selangor, Deputi Superintendan Sahimi Husin, berkata kejadian berlaku pada jam 1.10 tengah hari ketika mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah.

"Berdasarkan keterangan saksi, motosikal jenis Yamaha LC135 yang datang dari arah pekan Meru menghala ke Puncak Alam cuba untuk memotong kereta jenis Perodua Kancil. Namun, motosikal itu melanggar bahagian bucu belakang kereta, sebelum kedua-dua mangsa tercampak ke tengah jalan.

"Kereta ini dipercayai hendak membelok masuk ke kawasan perumahan di sebelah kanan jalan berkenaan. Ketika kejadian, keadaan cuaca baik dan cerah, permukaan jalan kering, namun tidak terdapat kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan kemalangan," katanya ketika dihubungi BH, di sini, hari ini.

Sahimi berkata, mayat mangsa dihantar ke HTAR untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Pihak polis meminta lebih ramai saksi untuk tampil menyalurkan maklumat bagi membolehkan polis melengkapkan kertas siasatan," katanya.

Berita Harian X