Sabtu, 1 Oktober 2016 | 12:10am

Pencegahan kehamilan kurang risiko barah


WANITA yang sedang dalam fasa pra-menopaus, masih perlu menggunakan pencegahan kehamilan walaupun kesuburan menurun sepanjang tempoh berkenaan.

Menggunakan perancang keluarga perlu bagi golongan wanita pertengahan usia sekiranya tidak merancang untuk hamil bagi mencegah risiko kesihatan yang tidak diingini termasuk gangguan kesihatan terhadap bayi.

Pakar Obstetrik dan Ginekologi Universiti Sains Kesihatan Western, Amerika Syarikat, Dr Anita Nelson, berkata walaupun wanita tidak didatangi haid selama beberapa bulan dalam fasa pramenopaus, namun dalam tempoh itu peluang untuk hamil sebenarnya masih ada.

Beliau berkata, apa yang penting wanita memerlukan kaedah berkesan, selamat dan sesuai untuk merancang keluarga sehingga mereka disahkan benar-benar mengalami menopaus kerana pada masa itu, sudah pasti tidak ada peluang untuk hamil.


WANITA di negara ini menerima kehamilan yang tidak dirancang sedangkan hal itu bukan satu tindakan yang bijak. - Foto hiasan

Elak kehamilan lewat usia

"Wanita lebih berusia memang sukar hamil tetapi sekiranya mereka mengandung, memang akan terdapat pelbagai risiko serius tidak diingini," katanya.

Katanya ramai wanita yang menghampiri usia menopaus iaitu lewat 40-an, bimbang untuk menggunakan pencegahan kehamilan kerana mengaitkannya dengan barah.

Hakikatnya banyak kajian membuktikan pil pencegahan kehamilan mengurangkan risiko serangan barah ovari dan lapisan dinding rahim.

Ini ditambah dengan pelbagai masalah termasuk haid tidak teratur, kadangkala terlalu lama dan mengalami rasa panas beberapa tahun sebelum haid terakhir.

Sudah tiba masanya wanita memikirkan untuk menggunakan pil pencegahan kehamilan tanpa berhenti bagi mencegah berlaku pendarahan dan sekurang-kurangnya menerima haid yang singkat.


PAKAR Obstetrik dan Ginekologi Pusat Perubatan Subang Jaya, Dr Tang Boon Nee dan Pakar Obstetrik dan Ginekologi Universiti Sains Kesihatan Western, Amerika Syarikat, Dr Anita Nelson. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali


WANITA di negara ini menerima kehamilan yang tidak dirancang sedangkan hal itu bukan satu tindakan yang bijak. - Foto hiasan

Kurangkan risiko barah ovari

"Persoalan mungkin timbul terhadap wanita berusia 50-an yang mempunyai haid hampir sempurna, tidak mengalami rasa panas iaitu gejala menopaus.

"Wanita ini sebaiknya bertukar kepada pil estrogen kerana penggunaan pencegahan kehamilan seperti kondom, mungkin tidak sesuai bagi golongan ini," katanya.

Bagi wanita berusia 40-an dan memasuki usia 50-an serta 60-an, penggunaan pil pencegahan kehamilan mengurangkan risiko barah ovari dan endometrium atau barah lapisan dinding rahim.

Menopaus iaitu tahun terakhir selepas haid terakhir boleh berlaku dalam usia semuda 43 sehingga 55 tahun manakala pramenopaus pula bermula lima tahun sebelum itu. Wanita yang lewat usia 30 juga boleh mengalaminya.

Biasanya kesuburan mula menurun apabila mencecah usia 35 tahun.


BARAH ovari.

Fahami kaedah kehamilan

Sementara itu, Pakar Obstetrik dan Ginekologi Pusat Perubatan Subang Jaya, Dr Tang Boon Nee, berkata wanita di negara ini menerima kehamilan yang tidak dirancang sedangkan hal itu bukan satu tindakan yang bijak.

"Saya sering berjumpa ramai wanita tersalah anggap atau salah faham apabila menyentuh mengenai kawalan kelahiran atau pencegahan kehamilan yang boleh menyebabkan pelbagai risiko.

"Justeru, sangat penting untuk wanita mendapatkan nasihat doktor mengenai kaedah pencegahan kehamilan yang sesuai," katanya yang menegaskan wanita perlu diperkasa untuk membuat keputusan mengenai perancangan keluarga.

Info: Risiko hamil lewat usia (40 tahun ke atas):

  • Diabetes
  • Tekanan darah tinggi
  • Uri ke atas (plasenta previa)
  • Risiko semasa melahirkan:

  • Pembedahan caesarian
  • Kehamilan luar rahim yang boleh mengancam nyawa.
  • Keguguran: 40 hingga 44 tahun (33 peratus), 45 tahun (50 peratus)
  • Risiko ke atas bayi:

    • Terdedah kepada sindrom down
    • Usia 40 tahun: 1 dalam 100

      Usia 49 tahun:1 dalam 10

    • Kelainan kromosom
    • Kelahiran bayi pra matang
    • Meninggal ketika dilahirkan.

    Jenis pencegah kehamilan:

    • Pil perancang gabungan estrogen dan progestin diambil secara oral
    • Tampalan pencegah kehamilan, pelekat ditampal kulit dan mengeluarkan estrogen dan progestin ke dalam aliran darah.
    • Gegelang yang dimasukkan ke dalam vagina dan mengeluarkan hormon estrogen dan progestin.
    • Pil mini atau pil progestin saja (POP) mengandungi progestin saja
    • IUD iaitu alat kecil berbentuk 'T' daripada plastik lentur yang dimasukkan ke dalam rongga rahim. Mesti diganti apabila sudah dipakai dalam tempoh tertentu.
    • IUS diletakkan di dalam rahim
    • Implan yang ditanam di bawah kulit dan mengeluarkan progestin
    • Suntikan
    • Kondom

    Pilihan pencegah kehamilan di Malaysia:

    • Pil: 13-14 peratus
    • Kondom: lima - 25 peratus
    • Suntikan: lima peratus
    • IUD: tiga peratus
    • Implan: satu peratus
    • Pemandulan: tujuh peratus

    Golongan berisiko menggunakan pil gabungan estrogen dan progestin:

    • Mempunyai sejarah keluarga menghidap penyakit jantung
    • Mempunyai sejarah keluarga menghidap barah payu dara
    • Mempunyai sejarah keluarga menghidap barah lapisan dinding rahim
    • Menghidap darah beku

    Pil dengan hormon progestin:

    • Tidak menyebabkan pembekuan darah
    • Sesuai untuk wanita menyusukan anak
    • Sesuai untuk mereka yang tidak boleh mengambil hormon estrogen akibat sakit kepala dan darah tinggi.

    362 dibaca
    Berita Harian X
    Teruskan ke laman Berita Harian »