Sabtu, 1 Oktober 2016 | 5:30pm

Pementasan di Panggung Bangsawan Melaka

BARISAN pelakon pementasan teater, Tun Mamat & Puteri Gunung Ledang. - Foto Muhammad Hatim Ab manan
BARISAN pelakon pementasan teater, Tun Mamat & Puteri Gunung Ledang. - Foto Muhammad Hatim Ab manan

MELAKA: Pementasan teater, Tun Mamat & Puteri Gunung Ledang menjadi pembuka tirai perasmian Panggung Bangsawan Melaka, Jalan Munshi Abdullah, Banda Hilir, di sini, malam tadi.

Persembahan selama dua jam itu mendapat sentuhan pengarah teater terkenal tanah air, Lokman Ghani yang dipentaskan di Sri Nilam pada skala kecil tetapi masih berjaya meninggalkan kesan di hati penonton negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron, berkata kerajaan negeri kini boleh berbangga kerana mempunyai sebuah panggung bangsawan dengan kelasnya yang tersendiri.

"Saya kira kelebihan ini (panggung) dapat menggalakkan bakat tempatan untuk meletakkan diri mereka lebih tinggi dalam arena persembahan ini.

"Justeru, saya memberikan cabaran kepada pihak Perbadanan Ketua Menteri Melaka (CMI) untuk mengekalkan kualiti persembahan di panggung ini," katanya.

Pembukaan perasmian panggung tertua di negeri ini yang kini berwajah baharu disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob.

Pementasan dua hari yang berakhir hari ini menampilkan penyanyi dan pelakon popular, Ahmad Azhar Othman atau lebih dikenali sebagai Awie yang memegang watak utama, Tun Mamat.

Barisan pelakon hebat lain yang berkongsi pentas ialah Datuk Jalaluddin Hassan (Sultan Melaka); Vanidah Imran (Puteri Gunung Ledang) dan Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) negeri, Zulkarnain Ramli sebagai Laksamana Hang Tuah.

Berita Harian X