Ahad, 2 Oktober 2016 | 12:06am
Mamat berkata pembikinan sesebuah filem dilakukan mengikut naluri. - Foto Zunnur Al Shafiq
PENGARAH, Mamat Khalid di majlis pra tonton filem Rock Bro. - Foto Zunnur Al Shafiq

Tiada lagi filem syok sendiri - Mamat Khalid

MENCIPTA kecemerlangan menerusi filem Hantu Kak Limah Balik Rumah yang mengaut kutipan mencecah hampir RM8 juta ketika ditayangkan pada tahun 2010, beberapa produksi yang dihasilkan pengarah prolifik, Mamat Khalid selepas itu bagaikan gagal mengulangi pencapaian selesa.

Tahun lalu, dua filem arahannya iaitu Usop Wilcha Dalam Werewolf Dari Bangladesh dan Usop Wilcha Menghonjang Makhluk Muzium menemui penonton di pawagam, namun sambutan yang diberikan khalayak tidak sehebat Hantu Kak Limah Balik Rumah.

Beberapa filem garapannya terdahulu seperti Zombi Kilang Biskut, Apokalips X dan Amir & Loqman Pergi Ke Laut juga lesu dari segi kutipan tiket. Apabila Mamat kembali memeriahkan pawagam menerusi Rock Bro yang bakal ditayangkan bermula 27 Oktober ini, pertanyaan mula berlegar dalam kalangan pencinta filem tempatan.

Mampukah Mamat bangkit untuk memulihkan semula reputasinya dan membuktikan sentuhannya masih berbisa? Mampukah juga garapan terbaharunya ini menyaingi dua filem terdahulu di bawah jenama Rock iaitu Rock dan Rock Oo yang mengaut kutipan hampir RM4 juta ketika ditayangkan pada tahun 2013?

Menjawab pertanyaan itu, Mamat mengakui, kegagalan beberapa filem terdahulunya kerana dihasilkan terlalu mengikut naluri tanpa mempedulikan cita rasa masyarakat.

"Pada saya, pembikinan sesebuah filem dilakukan mengikut naluri. Jika saya ingin menghasilkannya, saya akan buat. Namun, tidak semua naluri saya betul kerana ada antara percubaan itu menjadi dan ada yang sebaliknya. Saya tidak pernah salahkan sesiapa kerana semua itu berpunca daripada kesilapan sendiri.


MAMAT Khalid mencipta kecemerlangan menerusi filem Hantu Kak Limah Balik Rumah . - Foto Zunnur Al Shafiq

"Saya buat filem tidak mengikut kehendak penonton. Dalam beberapa filem sebelum ini, saya banyak bereksperimen hingga penonton yang sudah terbiasa dengan filem saya, tidak faham apa yang cuba disampaikan. Dari situ, saya belajar untuk buat filem yang orang suka.

"Rock Bro mungkin filem yang tepat kerana ia bukan saja digemari tetapi mempunyai rempah ratus yang cukup seperti dibarisi pelakon yang mempunyai nama, bersifat arus perdana dan ada elemen keseronokan," kata Mamat ketika ditemui pada majlis tayangan tertutup filem itu bersama Rockers yang diadakan di Mutiara Damansara, Petaling, baru-baru ini.

Walaupun perlu mengikut selera penonton semasa, pengarah berusia 53 tahun ini tetap akan menghasilkan filem berunsur 'seni' sebagai tanggungjawabnya kepada masyarakat.

"Sesekali saya akan hasilkan juga filem seni kerana itu adalah tanggungjawab saya terhadap masyarakat dan pada masa sama, mencari sisi lain sebagai pengarah. Amir & Loqman Pergi Ke Laut misalnya, walaupun ada ibu bapa merungut kerana anak mereka tidak memahami tetapi saya suka malah ia menerima pengiktirafan pada festival filem," katanya.

Beralih kepada perkembangan industri perfileman ketika ini, Mamat mengakui, teruja melihat kemunculan ramai pengarah baharu sekali gus memberikan alternatif kepada penonton. Mamat juga berbangga apabila pengarah ini berlumba-lumba menghasilkan karya berkualiti.


MAMAT Khalid (tengah) bersama barisan pelakon Rock Bro Khir Rahman (kiri), Amy Jueliet (dua kiri), Azmi Bahron dan Soffi Jikan (kanan) di majlis pra tonton filem Rock Bro. - Foto Zunnur Al Shafiq

"Setiap pengarah mempunyai identiti tersendiri dan ini memberikan pilihan kepada penonton. Filem arahan Syamsul Yusof umpamanya, kita akan tahu bagaimana bentuk garapannya. Begitu juga dengan produksi arahan Syafiq Yusof, penonton sudah dapat menjangka.

"Secara peribadi, saya menggemari filem arahan Shamyl Othman. Dia pengarah muda yang bagus, malah ramai yang suka dengan hasil kerjanya," kata pengarah kelahiran Ipoh, Perak ini.

Sementara itu, bercerita mengenai pembikinan Rock Bro, Mamat berkata, dirinya sangat berpuas hati dengan penghasilan filem yang memaparkan zaman kejatuhan era rock tempatan disebabkan kemasukan aliran muzik baharu seperti rap dan hip-hop pada awal dekad 1990-an ini

"Saya terlalu seronok bercerita hingga perjalanan filem ini memakan masa hampir empat jam. Terlalu banyak yang ingin saya sampaikan, namun untuk mengelak peminat bosan, filem ini akan disunting menjadi dua jam lebih.

"Bagaimanapun, saya bercadang untuk menayangkan bahagian yang dipotong dalam produksi khas kerana banyak babak menarik di dalamnya," kata Mamat lagi.

Menerusi Rock Bro yang menampilkan pelakon seperti Khir Rahman, Amy Jueliet, Soffi Jikan dan Datuk Hattan, Mamat bukan sahaja menghiburkan penonton dengan dialog yang melucukan tetapi turut merentap emosi penonton dengan penyudah yang tragis.

"Apa yang ditonjolkan dalam filem ini adalah realiti kehidupan saya ketika zaman muda. Selepas bergelak ketawa, kesedihan datang sehingga membuat penonton terduduk," katanya.

Berita Harian X