Ahad, 2 Oktober 2016 | 1:21pm

MH17: Senarai suspek mungkin diumum hujung tahun - Australia


MENTERI Luar Australia, Julie Bishop. - Foto Reuters

SYDNEY: Menteri Luar Australia, Julie Bishop, berkata nama pihak yang bertanggungjawab menembak jatuh pesawat MH17 milik Malaysia Airlines di Ukraine pada 2014 mungkin dapat disahkan menjelang akhir tahun ini.

"Menjelang hujung tahun ini, berkemungkinan awal tahun depan, senarai pihak yang kami percaya bertanggungjawab akan disahkan dan pendakwaan akan dilakukan," katanya dalam temubual dengan stesen penyiar Perbadanan Penyiaran Australia (ABC).

Rabu lalu, penyiasat antarabangsa berkata pesawat penumpang itu ditembak jatuh oleh peluru berpandu buatan Russia dari kampung dikuasai pemberontak pro-Russia di timur Ukraine.

Hasil siasatan menyanggah dakwaan Moscow bahawa pesawat itu, dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur pada Julai 2014, ditembak oleh tentera Ukraine, bukan pemisah.

Semua 298 penumpang dan anak kapal termasuk 28 rakyat Australia, terkorban dalam tragedi itu.

Bishop berkata, penjenayah akan dihadapkan ke tribunal antarabangsa, sama seperti digunakan untuk mendakwa pihak bertanggungjawab mengebom pesawat PanAm di Lockerbie, Scotland, pada 1988. - Reuters

18 dibaca
Berita Harian X