Rabu, 26 November 2014 | 3:33pm

Prospek kredit negara peringkat global diunjur stabil pada 2015 - Moody's

SINGAPURA: Moody's's Investors Service mengunjur prospek kredit negara di peringkat global akan secara umumnya stabil berikutan pemulihan peringkat dunia secara beransur-ansur akan menyokong kualiti kredit.

Unjuran Moody's bagi penarafan negara di Asia Tenggara juga pada umumnya stabil.

Dalam laporan Unjuran Penarafan Negara Global yang bertajuk, "Prospek 2015 : Kedaulatan Global", Moody's berkata, kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi penarafan negara peringkat global dijangka kekal rendah daripada paras sebelum berlakunya krisis kewangan antarabangsa pada 2008-2009.

Laporan itu mengenal pasti empat pemacu kualiti kredit kedaulatan dalam 2015 yang termasuk kemungkinan kejutan keyakinan daripada jangkaan kenaikan dalam kadar faedah Amerika Syarikat (AS), terutama dalam reaksi pasaran tidak menentu dan kesan pertumbuhan lebih rendah dari yang dijangka di China dan kawasan euro.

Mengikut Moody's, kesan risiko geopolitikal (walaupun buat masa sekarang ia tidak akan mempengaruhi profil kredit di Asia Pasifik) dan keupayaan serta kesediaan kerajaan untuk melaksanakan pembaharuan struktur, juga boleh menjadi pemacu.

Katanya, kesan pasaran yang tidak menentu akibat kenaikan kadar di AS akan memberikan risiko kepada Malaysia (A3 positif) dan Thailand (Baa1 stabil), disebabkan hutang isi rumah yang tinggi dan kepada Filipina (Baa3 positif), akibat daripada kesan signifikan walaupun berkurangan, bahagian hutang kerajaan dalam mata wang asing. - BERNAMA

Berita Harian X