Isnin, 3 Oktober 2016 | 12:06am
PENYANYI, pelakon dan pengacara versatil, Muhammad Alif Mohd Satar. - Foto Munira Abdul Ghani

Peminat tawar diri jadi isteri kedua Alif Satar


KUALA LUMPUR: Lumrah manusia sering diuji Tuhan. Dugaan datang dalam apa saja bentuk dan pada saat yang tidak dijangka.

Di sebalik ujian dihadapi, ada hikmah tersirat. Namun, semuanya bergantung kepada cara diri mengawal dugaan yang diperturunkan.

Begitulah kehidupan penyanyi, pelakon dan pengacara serba boleh, Muhammad Alif Mohd Satar, 26, atau lebih dikenali sebagai Alif Satar. Meniti puncak populariti, Alif mengaku dirinya banyak digoda peminat wanita biarpun sudah berkeluarga.

Bertemu pelakon drama Dia Semanis Honey (DSH) ini, Alif memberitahu ketika dirinya masih bujang dan belum begitu popular, dirinya tidak terkecuali berdepan dugaan sama.

Namun, Alif mengaku godaan daripada peminat wanita lebih hebat selepas dirinya bergelar suami kepada Shadila Halid, 32, dan bapa kepada Alisha Anugerah yang berusia 16 bulan.

"Sebelum berkahwin, saya mengaku ada peminat 'kacau-kacau' tetapi selepas berkahwin, tak sangka pula lebih banyaki. Saya rasa kalau ujian hebat ini berlaku ketika saya masih bujang, besar kemungkinan saya akan menjadi 'liar'.

ALIF bersama isteri, Shadila Halid dan anak mereka, Alisha. - Foto Nazran Jamel

"Allah sudah tetapkan bahawa dugaan ini diturunkan ketika saya sudah berkeluarga. Dugaan ini bagaimanapun membuatkan saya lebih matang dan tenang menghadapinya.

"Saya tidak rasa 'menggelabah' apabila ada wanita yang kata sukakan saya," katanya kepada BH.

Alif memberitahu, dia menerima banyak komen di laman Instagram apabila ada peminat mahu menjadi isteri keduanya.

"Banyak komen yang saya baca antaranya 'untungnya kalau dapat jadi isteri kedua Alif' dan sebagainya.

"Kadang kala saya dan isteri tergelak kerana sesuatu yang menyeronokkan apabila membacanya. Bagaimanapun, saya tiada apa niatpun (berkahwin lagi)," katanya yang mengaku sifat peramahnya kadang-kala disalah tafsir peminat wanita.

Bertanya mengenai reaksi isteri terhadap godaan yang diterima Alif, beliau bersyukur malah menganggap isterinya bersikap 'steady'.

"Shadila bukan suka cemburu. Walaupun lakonan saya dalam DSH ada babak romantik bertentang mata dan sebagainya, namun dia tidak ada rasa apapun.

"Ini kerana di tahu bahawa ia hanyalah sebahagian daripada permainan dunia lakonan," katanya.

ALIF bersama anak perempuannya, Alisha.

Tunggu 10 tahun untuk popular

Alif yang popular dengan lagu Nakal dan Lelaki Seperti Aku mengaku 2016 adalah tahun ajaib bagi dirinya. Alif menganggap dirinya seperti dalam 'roller coaster' yang bergerak terlalu laju.

Nama Alif menjadi bualan ramai selepas dia mengacarakan program realiti, Clever Girl terbitan TV3. Lebih memberi impak apabila Alif muncul sebagai teraju utama dalam DSH sebagai Ahnaf yang disiarkan Astro.

Mengambil masa lama untuk mencapai tahap sekarang, Alif mengaku pelakon baharu lebih mudah dan cepat mendapat populariti berbanding dengan dirinya yang terpaksa mengambil masa kira-kira 10 tahun.

"Saya tidak menyalahkan sesiapa dalam hal ini. Antara sebab saya kurang menonjol pada waktu dulu adalah saya boleh dikatakan sebagai artis yang 'membosankan' kerana saya tiada gosip liar.

"Mungkin kerana itu saya kurang mendapat perhatian. Bagaimanapun, saya lebih selesa begitu. Orang lebih kenal nama saya melalui perkara dan karya saya seperti lagu-lagu saya," katanya.

Jelas Alif lagi, dirinya tidak pernah mengejar glamor tetapi lebih suka meningkat dengan cara yang konsisten.

"Daripada terus mencanak naik cepat ia juga memudahkan kita berdepan dengan risiko menjunam jatuh dengan cepat.

"Bagi saya tiada apa yang glamor dalam industri ini tetapi ia adalah mengenai usaha dan kerja keras seseorang kerja dengan ikhlas.

"Jadi, masanya akan datang dengan sendiri. Begitulah yang berlaku kepada saya selepas 10 tahun terbabit dalam dunia seni," katanya sambil menasihati kepada pelakon baharu supaya jangan berputus asa dan terus berusaha mencapai impian.

ALIF mengaku dirinya banyak digoda peminat wanita biarpun sudah berkeluarga. - Foto Munira Abdul Ghani

Berlakon dengan Jihan Muse

Memiliki budi bahasa yang tinggi, Alif mengaku tidak sampai hati menolak permintaan peminat bergambar bersama.

Alif berkata, ketika keluar makan atau beriadah bersama keluarga, dia pasti melayan peminat sebaik mungkin tanpa mahu mengecilkan hati mereka.

"Saya pernah berada di tempat mereka. Dulu apabila ternampak penyanyi rock, Amy Search, Mambai dan Hattan, saya juga terasa mahu bergambar dengan mereka.

"Jadi, saya faham situasi itu dan tidak sampai hati untuk menolak permintaan peminat yang hanya mahu bergambar," katanya yang mengusahakan perniagaan menjual barangan bayi menerusi jenama ASTYLE bersama isteri.

Berkongsi perkembangan karier seninya, selepas selesai mengendalikan program realiti, Akademi Fantasia (AF) 2016, Alif akan berganding bersama pelawak, Jihan Muse menjayakan drama 20 episod berjudul Red Velvet arahan Micheal Ang.

Sepanjang Disember, Alif akan sibuk menjalani sesi latihan teater muzikal DSH yang akan dipentaskan di Istana Budaya, Januari depan. Selain sibuk mengumpulkan bahan untuk menghasilkan album keempatnya, Alif juga turut dilamar TV3 untuk mengacarakan sebuah acara berprestij.

PENGACARA program Clever Girl, Alif Satar. - Foto Munira Abdul Ghani

Berita Harian X